• Barisan pelakon dan pengarah filem  Sembunyi; Bisikan Azazil Barisan pelakon dan pengarah filem Sembunyi; Bisikan Azazil
1 /

SETELAH melalui proses penggambaran dua tahun lalu, akhirnya filem seram pertama arahan Khabir Bhatia, Sembunyi: Bisikan Azazil akan menemui penonton di pawagam, 28 Februari ini.

Bagaimanapun, filem yang menelan belanja RM1.8 juta termasuk kos promosi ini terpaksa ditukar tajuk dan beberapa babak juga turut dipotong.

Menjelaskan mengenai perkara itu, filem terbaru terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd, Tengku Iesta Tengku Alauddin selaku penerbit berkata, beberapa pertukaran terpaksa dilakukan setelah perbincangan bersama Lembaga Penapisan Filem (LPF) dibuat.

"Ada beberapa babak yang terpaksa dipotong demi mematuhi peraturan yang ditetapkan LPF, antaranya, adegan intim dan aksi ganas yang dianggap tidak sesuai untuk ditayangkan.

"Berkenaan pertukaran tajuk, memang benar, kita sebenarnya meletakkan tajuk Azazil pada mulanya.

Tapi selepas LPF meminta kami menukar tajuk, kami akur untuk berbuat demikian. Namun, saya tidak dapat kongsikan mengapa tidak mendapat pelepasan dari LPF,” jelasnya yang ditemui selepas sesi tayangan khas media filem berkenaan di e@Curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Tidak hanya sekadar pertukaran tajuk, filem yang sudah dua tahun terperam ini turut menjadi persoalan media, mengapa ia mengambil masa untuk ditayangkan.

"Sepatutnya filem ini ditayangkan Oktober 2012, tapi melihatkan situasi pasaran ketika itu dengan lambakan filem seram serta kutipan yang kurang memberangsangkan, kami tukar ke tahun ini.

"Kami ingin cari masa sesuai dan nampaknya tahun ini pun kurang cerita seram tempatan di pawagam. Saya kira ia masa yang tepat,“ ujarnya.

Sementara itu, Khabir berkata, dia telah merakamkan dua pengakhiran yang berbeza untuk filem ini, namun salah satu darinya tidak mendapat kelulusan dari LPF.

"Walaupun ada beberapa babak di potong, termasuk salah satu pengakhiran tidak dapat kelulusan, saya tetap berpuas hati dengan filem ini dan Alfie Palermo selaku penulis skrip juga berpuas hati dengan hasilnya," katanya.

Sembunyi: Amukan Azazil menampilkan Remy Ishak dan Diana Danielle selaku teraju utama dan turut di bantu pelakon lain seperti Sharnaaz Ahmad, Umie Aida, Emelda Rosmila, Sara Ali, Fizo Omar, Kismah Johar, Sheila Rusly, Aznah Hamid dan ramai lagi.