MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu memberi ucapan syabas kepada kesemua krew produksi dan pelakon filem Paskal selepas pratonton filem tersebut di GSC Mid Valley, pada Selasa.

Ucapan tersebut diberikan melalui Twitter miliknya, @MSabu_Official.  

"Memenuhi undangan ke Tayangan Perdana Filem Dokumentasi Tentera Laut Diraja Malaysia iaitu PASKAL The Movie di GSC Mid Valley Megamall semalam. Syabas saya ucapkan kepada kesemua krew produksi dan pelakon filem PASKAL," tulisnya.

Dalam majlis tersebut, Mohamad menjadi tumpuan atas sikap sportingnya yang turut meluangkan masa untuk menonton filem tersebut bersama para pelakon dan tetamu jemputan yang lain.

Mohamad juga sudi meluangkan masa bergambar dengan barisan pelakon filem Paskal.

Filem Paskal mengangkat kisah perjuangan anggota elit, Pasukan Khas Laut (Paskal), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Filem terbitan Asia Tropical Films itu merupakan inspirasi daripada kisah benar yang mengetengahkan kejayaan pasukan elit tersebut dalam melaksanakan Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Angola pada tahun 1998.

Penghasilan Paskal juga turut diinspirasikan daripada kejayaan Paskal merampas kapal dagang MT Bunga Laurel dalam kejadian di Teluk Aden pada 2011.

Filem ini dibintangi oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G, Jasmine Suraya. Bakal ditayangkan kepada umum pada 27 September 2018.