FESTIVAL Filem Malaysia ke 30 (FFM30) yang akan disambut pada 8 Disember depan dijangka lebih meriah dengan penyertaan banyak filem boxoffice.

Ketua Pengarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Datuk Fauzi Ayob berkata, 2018 menyaksikan satu titiik permulaan kebangkitan filem Melayu apabila kutipannya agak luar biasa.

Katanya, mengejutkan apabila filem Hantu Kak Limah berjaya memperoleh hampir RM40 juta melepasi kutipan tertinggi tahun lalu menerusi Abang Long Fadhil 2 (RM18.1 juta).

“Kita tak sangka HKL mendapat kutipan luar biasa dan ketika ini pula Munafik 2 menunjukkan peningkatan sekali gus ia mengangkat perkembangan industri filem kita,” katanya.

FFM30 bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Katanya sekitar 40 filem bakal menyertai festival kali ini dan penyertaannya dibuka bagi karya yang ditayangkan penghujung Ogos 2017 sehingga akhir 2018.

“Sempena FFM yang masuk usia tiga dekad ini saya menggesa semua pihak dapat meraikannya bersama-sama sebagai tanda sokongan atas pencapaian industri perfileman pada tahun ini,” katanya.

Antara kelainan yang akan diadakan pada FFM30 nanti kata Fauzi ialah penglibatan artis antarabangsa yang akan membuat persembahan selain beberapa aktiviti berkaitan kesenian. - mStar