FESTIVAL Kesenian Antarabangsa KL 2017 (KLIAF) dijadualkan berlangsung sepanjang September 2017 menerusi pelbagai aktiviti kesenian di beberapa lokasi menarik sekitar Kuala Lumpur.

Aktiviti ini bakal menampilkan artis yang sedang meningkat naik dan profesional bukan sahaja dari Malaysia malah seluruh dunia.

Kemuncak persembahan muzikal ialah persembahan terbuka Konsert Ulang Tahun ke-50 Panggung Anniversari di Taman Tasik Perdana dan penyertaan artis tempatan serta Asean.

Peminat seni tarian juga dapat menyaksikan 14 penari lelaki Argentina iaitu Che Malambo dengan tarian perkusi dan muzik ekstravaganza yang pasti mempesonakan.  

Turut dihidangkan pelbagai jenis tarian Melayu yang popular seperti tarian main zapin dan sebagainya.

Pengunjung yang berminat seni visual pula berpeluang mengenali dengan lebih dekat lagi tokoh yang membangunkan industri seni visual di Malaysia iaitu Yeoh Jin Leng menerusi pameran Retrospektif kehidupannya.

Untuk pementasan teater pula, atas permintaan ramai Wolfe Bowart akan kembali mempersembahkan teater berjudul Letter’s End yang sebelum ini sambutan cukup memberangsangkan

Kanak-kanak pula pasti terhibur dengan jenaka dan persembahan interaktif berjudul Bon Voyage di atas platform Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM). Tidak ketinggalan, persembahan bangsawan Melayu bertajuk Bangsawan Dewa Kencana akan dipersembahkan yang merangkumi cerita-cerita purba yang penuh dengan magis, legenda serta mitos.

Banyak lagi persembahan dan forum yang menarik akan berlangsung di beberapa tempat sekitar Kuala Lumpur antaranya Auditorium DBKL, Panggung Bandaraya, Nu Sentral dan Damansara Performing Arts Center.

Kebanyakan acara ini boleh ditonton secara percuma kecuali beberapa persembahan tertentu yang dikenakan bayaran berpatutan berdasarkan tempat berlangsungnya acara.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan acara ini dengan melayari www.diversecity.my

KLIAF akan dilancarkan pada 31 Ogos ini dan perasmiannya akan dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.