SETELAH lebih enam bulan tampil dengan menutup aurat dan berhijab, bekas model seksi, Felixia Yeap akhirnya mengambil keputusan untuk mengucap dua kalimah syahadah, semalam.

Memilih tarikh 3 Julai sebagai detik keramat memeluk Islam, Felixia juga menganggap hari itu umpama kelahiran semula dirinya kerana tarikh tersebut juga adalah hari lahirnya yang ke-28 tahun.

“Tarikh itu ialah hari bersejarah saya dan kebetulan ia jatuh pada lima Ramadan, tahun ini.

“Saya menjadi lebih teruja apabila mengetahui tarikh tersebut jatuh pada Khamis, iaitu hari kegemaran Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Bergelar saudara baru, Felixia memberitahu, dia memilih untuk mengekalkan nama sebenarnya, Yeap Chin Yee yang diberi oleh ibunya.

“Saya masih berbangsa Cina. Nama Cina saya bermaksud ketenangan dan keanggunan atau di dalam bahasa Inggerisnya bererti, Silent Grace.

“Saya cuma akan menambah nama kurniaan daripada mimpi saya di hadapan nama asal,” katanya.

Menjelaskan nama yang diperoleh melalui mimpi, Felixia memberitahu, pada satu malam, dia didatangi mimpi bayangan seolah-olah jubah putih yang berlalu pergi secara perlahan-lahan.

“Daripada situ, saya melihat dua patah perkataan dalam warna keemasan di atas papan putih yang bercahaya terang. Saya kemudiannya bangun dan mencatatkan nama tersebut sebelum terlupa.

“Saya seolah-olah tahu, nama itu adalah kurniaan buat saya apatah lagi apabila saya tidak pernah mendengar langsung nama tersebut.

“Tetapi, apabila saya mencari maksudnya, baharulah saya tahu keindahan nama terbabit,” katanya yang memilih ...... Rania sebagai nama Islamnya.

Biarpun baru saja memeluk Islam, namun Felixia Yeap sebenarnya telah pun berusaha mendalami ilmu Islam sejak melakukan transformasi dalam berpakaian.

Kata anak kelahiran Ipoh, Perak itu, Islam adalah sebuah agama yang mendamaikannya sekali gus berjaya membuatkan dirinya jatuh cinta dengan agama tersebut.

"Jika hanya sehelai kain yang menutupi rambut wanita boleh memberikan saya ketenangan dan kedamaian.

"Bagaimana pula dengan ajaran-ajarannya yang lain?. Pastinya ia juga mendamaikan," katanya.

Menurutnya, pembelajarannya dalam mendalami Islam bermula dengan membuat pelbagai bacaan.

"Selain membaca, saya juga memerhatikan cara-cara Muslimah solehah bercakap.

"Saya lihat betapa santun dan sederhananya mereka, tetapi tetap bahagia dan bersyukur. Jadi di situ, saya sedar saya mahu mempelajari lebih.

"Lagi pun, dalam hal mencari ilmu, sampai mati pun tak habis. Biarlah perkara ini berlaku sedikit demi sedikit," katanya.

Malah, Felixia menganggap pelajaran baharunya itu bukanlah sesuatu yang membebankan.

"Saya masih belajar cara bersolat dengan betul.

"Saya juga sudah menghafal surah Al-Fatihah dan beberapa perkara asas lain, selain sudah beberapa bulan mengikuti kelas usrah.

"Melalui kelas usrah yang dihadiri, saya masih cuba menyerap seberapa banyak ilmu dan kefahaman yang boleh," katanya.


Sokongan keluarga

Tambah Felixia, keputusannya memeluk Islam disokong penuh oleh keluarga terutama ibunya yang turut menyaksikan perubahan dalam dirinya selepas mendalami Islam.

"Selepas bercerai, saya dibesarkan oleh ibu. Jadi, ibu sangat mengetahui semua perangai saya.

"Dulu, saya seorang panas baran, senang melenting dan berfikiran sempit tetapi kini jauh lebih penyabar dan tenang serta bersikap terbuka.

"Biarpun ibu berbangsa Cina tetapi cara hidupnya tidak terlalu bebas malahan menjaga adab termasuk aspek pakaian yang tertutup dan sopan," katanya yang menghentikan sebarang kegiatan peragaan yang memerlukannya berpakaian menjolok mata.

Katanya, ibunya sangat mengambil berat akan hal dirinya sehingga dalam membentuk menjadi Muslimah yang baik.

"Saya gembira ibu dapat menerima saya seadanya dan gembira atas perubahan positif saya.

"Kini, tugas saya adalah untuk menjadi Muslimah yang baik dan boleh diteladani," katanya yang tidak pernah memaksa ahli keluarganya untuk memeluk Islam..

Sementara itu, apa yang lebih manis, Felixia memeluk Islam di kala masyarakat Islam seluruh dunia sedang menyambut bulan penuh keberkatan, Ramadan.

Malah, model jelita ini mengakui sudah pun menunaikan rukun Islam yang ketiga sejak dari hari pertama Ramadan lagi.

"Apabila berpuasa, ia membuatkan saya lebih fokus sekali gus menyebabkan lebih tekun untuk membaca, mempelajari dan menambah ilmu Islam.

"Ibadah ini mengajar saya erti kesabaran dan bersyukur di atas nikmat kurniaan yang ALLAH SWT berikan.


Raih publisiti murahan?

Begitu pun. dalam keseronokan berkongsi cerita mengenai penghijrahannya, ada pula kata-kata kurang manis yang semakin hangat diperkatakan.

Perubahan yang dilakukan Felixia menjadi kontroversi hangat di media sosial sehingga menyebabkan dirinya dikecam hebat oleh orang ramai.

Tidak cukup dengan itu, ada juga sesetengah pihak yang menganggap Felixia sengaja meraih publisiti murahan.

Ketika di tebak akan hal tersebut, Felixia memberitahu dia tidak kisah dengan apa yang difikirkan atau diperkatakan orang sebaliknya menerimanya dengan positif.

"Jika saya terlalu mudah terasa atau mengambil kisah karenah manusia yang sebegitu, semestinya saya tidak dapat beristiqamah sehingga ke hari ini.

"Saya hanyalah seorang manusia biasa, punyai masa silam yang kurang baik, tetapi bagi saya, apa yang penting adalah saya ingin ke arah yang lebih baik dan mencari makna kehidupan di dunia dan akhirat.

"Setiap publisiti dan populariti hanyalah bonus rezeki yang dikurniakan ALLAH SWT dan saya sangat mensyukurinya," katanya yang pernah berlakon dalam drama Nikah Kita Bercinta, Sarafina dan Berikan Aku Jilbab.

Dalam perkembangan lain, Felixia memberitahu, sempena Ramadan ini, dia berehat seketika daripada kegiatan aktiviti seni.

"Bulan ini, saya lebih fokus untuk mempelajari dan mendalami Islam.

"Tetapi, saya masih aktif dalam menerima tawaran untuk menjadi duta produk," kata duta sabun Seri Emas dan butik Neng Geulis ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TAHUN ini merupakan tahun kedua sambutan Aidilfitri bagi personaliti cantik, Raisyyah Rania Yeap atau lebih dikenali dengan nama Felixia Yeap.
  • FELIXIA Yeap atau nama Islamnya Raisyyah Rania Yeap mengesahkan dirinya sudah bernikah pagi kelmarin melalui laman sosial miliknya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.