• Ajo Aksi Ajo dalam kumpulan B Bintang Mencari Bintang memikat juri dan penonton. - Foto ihsan TV3
1 /

PENYAMPAI radio terkenal, Faizal Ismail atau FBI optimis anak didiknya dalam Bintang Mencari Bintang, Ajo bakal menjadi pelapis ‘stand up comedian’ seperti Harith Iskander.

Selepas Ajo selesai membuat persembahan, malam tadi, Faizal melahirkan rasa bangganya terhadap prestasi anak muda kelahiran Pulau Pinang itu.

“Saya berbangga mendapat ‘protege’ seperti anda,” katanya ketika diminta memberi komen oleh pengacara, Adibah Noor terhadap persembahan Ajo.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan Ajo atau nama sebenarnya Wan Azrul Azizan sebagai anak didiknya, Faizal akui melihat kekuatan Ajo untuk berdiri di pentas seorang diri.

“Dia pergi uji bakat berdua dan saya nampak kekuatan dia untuk berdiri di atas pentas secara solo.

“Apabila dia beraksi seorang diri, dia boleh bagi pecah pentas. Saya rasa dia boleh jadi pelapis solo ‘stand up comedian’. Pelawak yang sedia ada untuk kumpulan memang ramai tapi solo tak ada. Hanya Harith saja yang kita kenal,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui selepas tirai Bintang Mencari Bintang dilabuhkan.

Meskipun dipuji para juri profesional, AR Badul dan Fauziah Ahmad Daud, namun, Faizal tidak mahu Ajo hanyut dengan pujian yang diberikan.

“...tapi Ajo jangan terlalu selesa dan jangan terlampau lena,” katanya.

Prestasi Ajo dilihat seakan memberi saingan sengit terhadap peserta solo dari Kumpulan A, Achey.

“Achey dan Ajo ada kekuatan sendiri. Meskipun persaingan sengit di Kumpulan B, itu tidak melemahkan semangat kami,” katanya.

Menghormati setiap idea Ajo, Faizal bertindak menjaga persembahan Ajo dari segi penyampaian.

“Apabila Ajo memberi idea, itu bermaksud dia selesa dengan idea itu tapi apabila dia dah bawa, ia mesti ‘sampai’. Apabila sesi latihan dijalankan, dia kotakan apa yang dia cakap.

“Saya jaga dari segi penyampaian sebab itu paling penting. Bahan Ajo dah sediakan,” katanya.

Penonton menerima idea Ajo dengan mudah kerana ia dekat dengan diri setiap penonton serta mudah difahami.

“Saya suka ‘research’. Buka laman sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya. Cerita perbezaan zaman ini dekat dengan orang kan, jadi, bila saya buat apa yang dekat dengan orang, orang boleh terima.

“Dari bawah pentas lagi, saya set tenaga. Kadang-kadang, apa yang kita buat itu tak lawak tapi sebab kita bertenaga, ia buat orang nak tengok kita,” katanya.

Dalam pada itu, Ajo juga mahu mengelak daripada membuat lawak yang klise.

“Dalam prinsip lawak, tak ada yang bodoh atau pandai. Orang gelak sebab orang yang buat itu kita nampak macam bodoh. Atau sebaliknya.

“Lawak ini subjektif tapi saya memang nak elak lawak yang klise,” katanya.

Tambahnya, “kelebihan saya, orang tak nampak FBI (Faizal) sebab orang dengar FBI. Jadi, tak wujud perbandingan. Saya cuma kena jadi diri sendiri.”

Persembahan Ajo cukup mencuit hati penonton dengan lawak perbezaan zaman dari sekitar 50-an sehingga ke masa kini.

Di tambah dengan parodi lagu Sayang yang menjadi trend, aksinya menggegarkan pentas Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam.

Meskipun mikrofon yang dipakainya patah, namun ia tidak menghalang pemuda berusia 28 tahun ini untuk terus menghiburkan penonton.

Minggu hadapan, peserta-peserta Bintang Mencari Bintang bakal berentap lagi dengan konsep yang lain pula.