PELAKON dan pengarah Farid Kamil mengakui dia tidak akan lantang bersuara lagi.  Bukan kerana disekat lagi tetapi kerana perjuangannya telah membuahkan hasil.

Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 37, berkata; "Ya, saya akui saya merupakan salah seorang yang lantang bersuara ketika kerajaan terdahulu kerana saya sedih dan tahu apa yang tidak memberi kebaikan kepada negara.  Jadi ketika itu masih lagi artis, tak terlibat secara langsung dalam dunia politik jadi saya ambil itu sebagai salah satu perjuangan untuk melakukan perubahan secara total."

Apabila kemenangan berpihak kepada Pakatan Harapan, Farid antara yang cukup gembira.

"Sudah tentu ia merupakan satu perkara yang amat menggembirakan hati saya dan juga secara tak langsung mencerminkan rakyat Malaysia ini mula celik pada perubahan-perubahan yang tidak sepatutnya berlaku kepada negara kita dan benda-benda itu adalah semangat yang kita tunggu-tunggu.

"Tapi akhirnya telah menjadi satu kenyataan bahawa apa yang diperjuangkan kerajaan terdahulu tidak diperjuangkan untuk rakyat.

"Harapan saya akan tidak akan lantang lagi berkata kerana apa yang saya doakan dan harapkan telah berlaku.  Harap kerajaan baru dapat membersihkan apa yang patut di dalam kerajaan terdahulu dan mengorak langkah kembali menjadi sebuah negara yang dikenali sebelum ini," katanya.

Dalam industri seni pula, Farid berharap orang-orang yang telah lama duduk di dalam organisasi terdahulu supaya beri laluan kepada generasi baru untuk mencorak hala tuju pemsembahan kerana ramai orang muda-muda yang mempunyai pengalaman, kelulusan dan pakar dalam yang seharusnya ditonjolkan bagi kelangsungan industri untuk lebih maju.