PELAKON dan penyanyi, Datin Diana Danielle mendedahkan antara faktor utama dia bersetuju menyertai Toyota Gazoo Racing sejak musim pertama tahun lalu, disebabkan dorongan daripada suami, Datuk Farid Kamil.

Menurut Diana, sejak awal lagi, Farid menasihati untuk tidak melepaskan peluang menyertai program seumpama ini, biarpun dia agak keberatan pada awalnya kerana tidak reti memandu manual.

"Maklumlah bila kata berlumba di trek, ramai lihat ia agak berbahaya, malah mama sendiri risau dan sentiasa doakan keselamatan saya bila berada di trek.

"Berbeza dengan Farid, dia seorang yang sangat kompetitif dan memberi dorongan kepada saya untuk menyertai Toyota Gazoo Racing untuk musim kedua.

"Malah baru-baru ini dia ada belikan saya game racing dan merancang untuk membeli simulator bagi memantapkan skil saya di trek," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan barisan pelumba Toyota Gazoo musim kedua di APW Bangsar, baru-baru ini.

Tambah Diana, misinya untuk musim kedua ini adalah untuk bergelar juara, biarpun dia pernah merasa untuk menaiki podium pada musim pertama.

"Bagi saya ia satu kepuasan apabila kita sudah mahir dengan sesuatu skill dan bila diberi peluang, saya mahu gunakan kesempatan untuk mantapkan diri lagi dan memenangi perlumbaan," katanya.

Bagaimanapun ujar Diana, dia tidak pernah menggunakan kelebihan dan pengetahuan yang dimiliki untuk memandu secara bahaya di jalan raya.

Bahkan, semenjak menyertai pertandingan ini, dia menjadi pemandu yang lebih berhemah.

"Memandu di litar amat mencabar dan saya harus memastikan keselamatan ketika berada di litar.

"Saya tak ambil ringan bab keselamatan dan saya sendiri pernah merasai pengalaman kemalangan.

"Ia secara tidak langsung menjadikan saya lebih berhati-hati.

"Lagipun bila masuk race trek, disiplin saya tinggi dan saya apply disiplin itu bila memandu di jalan raya," ujarnya.