KEMBALI bersiaran, Anugerah Nasyid 2017 (AN17) memperlihatkan kemenangan berganda buat Fadzli Fareast menerusi lagu Syahadah..

Lebih manis, Fadzli turut menggondol Anugerah Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik serta Anugerah Artis Solo Pilihan.

Kemenangan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, kepingan emas bernilai RM15,000, sijil penghargaan dan trofi.

Naib juara pula menjadi milik Lah Ahmad menerusi lagu Salam dan membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000, kepingan emas bernilai RM13,000, sijil penghargaan dan trofi.

Bekas juara AN2014, Daqmie pula terpaksa berpuas hati apabila hanya berada di tempat ketiga menerusi lagu Jalan Syahadah sekali gus berjaya membawa pulang wang tunai RM5,000, kepingan emas RM6,000, sijil penghargaan dan trofi.

Dalam pada itu, Anugerah Lirik Terbaik dimenangi Hafiz Hamidun menerusi lagu Penyelamat manakala Artis Baru Terbaik pula dimenangi oleh Simfoni dan Anugerah Muzik Video Terbaik pula dimenangi oleh Al Manna melalui lagu Ajarkan Aku Setia.

Kesemua pemenang diadili oleh barisan juri profesional iaitu Rozman Syafie (LY), Amran Omar, Norkhayati Mohd Hashim (Baiduri),Siti Hajar Ismail, Juliza Adlizan Abdul Rafar dan Farihin Abdul Fattah yang bertindak selaku ketua juri.

Dalam pada itu, lagu Syamail Muhammadiah nyanyian UNIC merangkui Anugerah Lagu Pilihan bahkan kumpulan itu turut menggondol Anugerah Artis Duo/Berkumpulan Pilihan.

Kesemua pemenang ini dipilih berdasarkan pilihan pendengar/penonton dan semua pemenang membawa pulang hadiah RM1500, kepingan emas, sijil penghargaan dan trofi.

AN17 menampilkan lagu bertemakan ketuhanan dan kemanusiaan adalah program kerjasama antara Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan TV Al-Hijrah.

Ia bertujuan mengiktiraf penggiat industri dalam kalangan pencipta lagu, penulis lirik, penyanyi dan lain-lain pihak yang terbabit dalam penghasilan karya mereka.

Kesemua 10 lagu yang layak ke peringkat akhir dipilih daripada 30 lagu yang dipertandingkan menerusi hasil undian pendengar IKIMfm daripada segmen Carta Nasyid bermula Mac 2015 hingga Mei 2017.

AN17 dihoskan oleh Suffian Amrin, Syafinaz Yunuz, Amy Sofia Ahmad dan DJ Faiz Nordin.

Ia berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam dan dipancarkan secara langsung menerusi stesen radio IKIMfm dan TV AlHijrah (saluran 114).
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SELEPAS dua tahun, Anugerah Nasyid 2017 (ANI17) kembali lagi bagi mengiktiraf genre nasyid, ketuhanan dan kemanusiaan.