UNTUK terus kekal relevan dalam arena seni dan hiburan tanah air,  pelbagai usaha yang perlu dilakukan oleh penggiat seni untuk mendapat tempat di hati peminat.

Justeru, penyanyi Ikhwal Hafiz Ismail atau lebih dikenali sebagai Ewal Ismail, 26, memulakan langkah penjenamaan semula dirinya.  

Setelah lima tahun setia dengan lagu-lagu pop dan balada, kini Ewal bakal muncul dengan single terbaharu dan mahu dikenali sebagai penyanyi R&B.

“Single terbaharu ini saya anggap sebagai penjenamaan semula.  Tajuknya belum ada lagi, akan diumumkan di Instagram dalam jangka masa terdekat ini.

"Saya berharap agar single ini dapat diterima ramai.  Pun begitu saya tak mahu letakkan harapan yang terlalu tinggi.  

“Kalau single itu nanti dapat dimainkan di stesen-stesen radio, Alhamdulillah. Saya dan team hanya boleh berdoa yang terbaik sahaja, Insya-ALLAH.

“Jika sebaliknya, kami akan berusaha lagi dengan lebih baik. Sebab setiap kali nak hasilkan lagu kami hanya menitikberatkan tentang kualiti sahaja,” katanya jujur.

Memandangkan Ewal kini bergerak secara solo tanpa di bawah mana-mana pengurusan syarikat rakaman, dia mengakui hal itu sedikit sebanyak menjadi cabaran untuk lagu itu nanti dimainkan di stesen-stesen radio.

“Sekarang saya sudah bergerak sendiri jadi agak sukar untuk mendapat peluang sebegitu memandangkan trend hari ini lebih memberikan ruang kepada artis-artis yang mempunyai ramai pengikut di media sosial dan tontonan muzik lagu yang berjuta di YouTube.

“Mungkin kelebihan itu tidak ada pada saya,” katanya.

Menyedari hakikat kekurangan itu, Ewal bagaimanapun tidak patah semangat malah mempunyai strategi lain iaitu cuba melangkah ke pasaran antarabangsa.

“Tahun ini saya dan team akan memasarkan single itu nanti ke pasaran luar negara seperti di Bangkok dan Jakarta.

“Manakala untuk tahun depan kami akan memasarkan ke New York ataupun Los Angeles,” jelasnya.