• Ayam percik Emma Akma Ayam percik Emma Akma
  • Salamiah Hassan bersama anak saudaranya, Shilla menjual biskut raya dan pakaian Salamiah Hassan bersama anak saudaranya, Shilla menjual biskut raya dan pakaian
  • Emma Akma Emma Akma
1 /

Meskipun baru seminggu Ramadan membuka tirai namun bahang kemeriahannya begitu terasa terutama ketika berada di bazar Ramadan.

Bazar Ramadan merupakan antara medan wajib yang sering menjadi tumpuan semasa bulan puasa khususnya bagi mencari juadah untuk berbuka puasa.

Selalunya ramai yang mengambil peluang untuk bergelar peniaga tetap di bazar Ramadan kerana menyedari sambutan hangat berniaga di situ.

Tidak terkecuali, golongan selebriti juga semakin ramai yang merebut peluang berniaga di bazar bagi menjana pendapatan mereka.

Sama seperti beberapa rakan artis lain, dua selebriti tanah air, Emma Akma dan Salamiah Hassan turut tidak melepaskan peluang untuk cuba berniaga.

Jika selalunya mereka ini menjadi pelanggan tetap di bazar Ramadan setiap tahun, namun tidak pada tahun ini yang menyaksikan kedua-dua wanita ini bertungkus-lumus setiap petang membuka gerai di bazar Ramadan berhadapan Stadium Hoki Bukit Jalil.

Tentunya, kemeriahan Ramadan kali ini lebih terasa apabila mereka sendiri berpeluang merasai pengalaman pertama bergelar peniaga bazar Ramadan.

Baik Emma Akma mahupun Salamiah Hassan mengakui teruja dengan pekerjaan baru mereka itu dan berkongsi pengalaman masing-masing sebagai peniaga.

Ayam percik Emma Akma

Meskipun sibuk dengan jadual penggambaran yang tidak menentu, namun pelakon ini tidak ketinggalan meluangkan masa dengan berniaga sepanjang bulan Ramadan ini.

Memilih ayam percik sebagai produk jualan, wanita yang mesra disapa Emma ini tidak menyangka tawaran yang datang daripada rakannya, Kamal Rezuan untuk membuka gerai di bazar dapat dipenuhi.

Tidak pernah terfi kir untuk membuka gerai jualan, Emma bagaimanapun terpujuk dengan ajakan temannya itu untuk berkongsi tapak niaga di bazar.

“Sebelum bersetuju, Emma perlu mengambil kira juga waktu penggambaran kerana takut jadual akan bertindih memandangkan tuntutan berniaga memerlukan Emma sering berada di tapak.

“Namun, nasib baiklah Kamal mencadangkan supaya kami bergilir-gilir menjaga gerai. Jika Emma ada penggambaran atau kerja lain, Kamal yang akan menjaga gerai dan begitu juga sebaliknya,” katanya yang sebelum ini menjalankan perniagaan membuat hamper raya di rumah.

Menurut Emma, keputusannya untuk membuka bazar juga diambil apabila memikirkan inilah waktu yang sesuai untuknya bertemu peminat selain dapat merapatkan hubungan dengan rakan artis lain.

Tambahan pula, bazar yang dibuka itu anjuran Barisan Artis Nasional (Bran) di bawah presidennya, Datuk AC Mizal.

“Apabila mendapat tahu Bran membuka peluang untuk golongan artis berniaga di sini, saya tertarik untuk mencuba memandangkan bazar di sini juga mengumpulkan ramai lagi rakan artis lain.

“Tambahan pula, sebagai artis kami hanya berpeluang bertemu di set penggambaran sahaja selain pergi ke majlis anugerah. Jadi sedikit sebanyak dengan berkumpul di sini dapat mengeratkan lagi hubungan kami selain dapat peluang berjumpa dengan peminat,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai ayam percik yang dijual, Emma berkata, sos ayam tersebut diambil daripada resipi saudaramaranya. Tidak mengambil masa yang lamauntuk membuat keputusan mengetengahkan resipi ayam percik tersebut, Emma optimis makanan tersebut memberikan kelainan di bazar tempatnya berniaga.

“Secara jujurnya, Emma bukanlah pakar memasak tetapi minat untuk mengetahui resipi ini sudah lama ada. “Jadi apabila membuat keputusan untuk membuka bazar, perkara pertama yang terlintas di fi kiran Emma ialah untuk mengetengahkan resipi ayam percik ini,” katanya yang ditemui di Bazar Nostalgia Perkampungan Ramadan Bukit Jalil, baru-baru ini.

Promo  di Facebook

Mengulas mengenai sambutan yang diterima, pelakon yang bakal muncul dengan telefi lem raya berjudul Vanila Coklat Raya ini berkata, ramai yang berpuas hati dengan produk jualannya.

Menurutnya, kelainan pada ayam percik jualannya ialah dari segi rempah yang digunakan serta kuahnya yang cukup pekat dan tidak berapa pedas.

“Kebanyakan peniaga lain selalunya memasak kuah ayam percik pedas tetapi Emma mengambil pendekatan untuk tidak terlalu pedas memandangkan ada juga di kalangan masyarakat yang tidak tahan pedas.

“Malah, daripada respons yang Emma terima, kebanyakan pelanggan yang datang pasti akan bertanya dahulu sama ada kuah ayam percik ini pedas ataupun tidak,” katanya sambil memberitahu pernah putus asa melihat sambutan pada hari pertama berniaga.

Namun, menyedari adat peniaga yang ada kalanya akan menerima sambutan dan kadangkala tidak, Emma menganggap perkara itu sebagai cabaran untuknya.

Pada awal berniaga sambutan kurang mungkin kerana masih ramai yang belum tahu mengenai bazar ini.

“Namun, Emma anggap ini sebagai cabaran awal untuk peniaga bazar seperti Emma dan alhamdulillah, dari sehari ke sehari, hasil jualan semakin meningkat,” katanya yang terharu apabila ada di kalangan peminatnya yang sanggup turun dari Kedah dan Pahang untuk membeli ayam percik di gerainya.

Dalam pada itu, Emma berkata, diaturut mengambil pendekatan mempromosikan perniagaannya menerusi Facebook miliknya bagi memberitahu lebih ramai lagi mengenai bazar tersebut.

Selain ayam percik, Emma turut berkongsi gerai dengan Kamal yang menjual air soya yang dicampurkan dengan perasa tambahan iaitu air gula biru dan ditambah dengan ‘bubble.’

Baju dan biskut raya- Salamiah Hassan

Di usia 61 tahun, Salamiah Hassan atau mesra disapa Mama ini tidak menyangka Ramadan kali ini memberi peluang pekerjaan baru kepada dirinya.

Tidak pernah terfi kir akan menjadi peniaga bazar, Mama bagaimanapun seronok berpeluang berkumpul dengan rakan artis lain di tapak bazar tersebut.

Mengambil inisiatif membantu anak saudaranya, Shilla yang menjalankan perniagaan menjual pakaian secara online, Mama turut menambah koleksi produknya dengan menjual biskut raya dan tudung di bazar.

“Selalunya, apabila hampir di penghujung Ramadan baru Mama rasakan kemeriahan beraya, tetapi tidak pada Ramadan kali ini. “Mama seronok menyambut Ramadan kali ini dengan banyak meluangkan masa di tapak bazar bersama Shilla. Malah, yang lebih menyeronokkan lagi, artis di sini sudah seperti sebuah keluarga besar apabila kami berkongsi makanan setiap kali berbuka puasa,” katanya yang kadangkala menerima undangan berbuka puasa bersama anak yatim.

Menyentuh mengenai pengalamannya di bazar, Mama akui tidak sabar-sabar untuk ke bazar setiap hari bagi bertemu dengan rakan artis.

Menurut ibu kepada penyanyi Atilia ini, dia masih belum berasa penat berniaga kerana begitu seronok. “Meskipun Mama dapat rasakan bukan senang bergelar peniaga kerana bukan setiap hari jualan kita laku, tetapi suasana di sini sahaja sudah membuatkan Mama berasa seronok.

“Keriuhan berkumpul di sini bersama ‘anak-anak’ Mama yang lain (artis lain) lebih bermakna kerana kami di sini menjalankan perniagaan secara sihat dan saling bantu-membantu,” katanya lagi.
 
Bazar Nostalgia Perkampungan Ramadan Bukit Jalil dibuka dari jam 2 petang hingga 12 tengah malam sejak 21 Julai lalu hingga 19 Ogos ini.

Selain Emma Akma dan Salamiah Hassan, seramai 20 artis lain turut membuka gerai di bazar tersebut antaranya Erry Putra, Serina Redzuawan, Farhan AF, Ieda Moin dan ramai lagi. Bazar itu merupakan projek pertama Bran sejak dilancarkan pada April lalu.