SANDAKAN - Mereka yang ingin membuat pinjaman wang dinasihat supaya tidak terpedaya dengan tawaran 'Along', dan sebaliknya membuat pinjaman dengan Pemberi Pinjaman Wang berlesen yang berdaftar di bawah Kementerian Kewangan Negeri Sabah (KKNS).
    
Ketua Unit Penguatkuasaan Bahagian Pemberi Pinjaman Wang dan Pemegang Pajak Gadai Sabah Supt Abdul Latif Ibrahim berkata ini bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa pemberi pinjaman wang tidak berlesen itu.
    
Terdapat 409 PPW berlesen di seluruh Sabah, 56 daripada jumlah itu terdapat di daerah ini, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pemahaman Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) di sini hari ini.
    
Katanya ramai orang mudah terpengaruh dengan perbagai iklan serta pujuk rayu pemberi pinjam wang tidak berlesen kerana tidak memerlukan prosedur yang rumit.
    
"Namun tindakan tersebut adalah salah di sisi undang-undang serta mengundang risiko sekiranya peminjam gagal membayar kadar faedah tidak konsisten yang dikenakan oleh Along,"  katanya.
    
Abdul Latif berkata berbeza dengan 'Along", PPW berlesen telah diperakui Bank Negara Malaysia, memegang sijil bahawa mereka mempunyai pengalaman dalam hal kewangan, tidak muflis, serta tidak terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah.
    
Mengenai bengkel itu, beliau berkata bengkel itu wajib kepada PPW berlesen untuk membolehkan mereka memahami dan mematuhi undang-undang yang termaktub dalam Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400).- Bernama