DUA dekad lalu, nama The Rock cukup mekar di arena gusti hiburan dunia.

Dilabel sebagai bintang gusti popular dan antara terbaik sepanjang zaman, The Rock atau nama lengkapnya, Dwayne Douglas Johnson  gigih membina nama di lapangan sukan hiburan itu yang begitu sinonim dengan dirinya.

Selain The Rock, beberapa ahli keluarganya turut melibatkan diri dalam sukan berkenaan secara profesional.

Satu demi satu kejuaraan diraih bintang asal California, Amerika Syarikat ini di arena gusti sekali gus membuka peluang buatnya untuk mengembangkan bakat dalam cabang seni lainnya.

Lalu pada tahun 2002, filem The Scorpion King menjadi penanda aras buat The Rock memulakan hidup baru dalam industri perfileman Hollywood.

Bergelar pelakon, The Rock yang kini sinonim dengan nama komersial, Dwayne Johnson menjadi pelakon baru termahal ketika itu dengan bayaran lebih AS$5.5 juta untuk tampil di dalam filem tersebut.

Terdahulu, bintang ini pernah membintangi beberapa drama akhir tahun 90-an.

Sejak itu, sinar bintang Dwayne kian menyerlah dalam lakonan sehingga memaksa figura berusia 45 tahun ini memperlahankan penglibatannya di sukan gusti hiburan bagi memberi komitmen penuh terhadap lakonan.

Bagaimanapun, Dwayne tetap membuat kemunculan istimewa di World Wrestling Faderation (WWE) beberapa tahun lalu.

Mengakui sukan gusti adalah nadi kepada kejayaannya kini, Dwayne tidak mahu alpa atas status sukses itu. Sebaliknya, dia perlu lebih gigih menambat hati peminat.

Terkini, namanya disebut pencinta filem dunia apabila filem animasi, Jumanji: Welcome to the Jungle mendapat reaksi positif dari penonton.

Malah, Dwayne turut memberi penghargaan buat peminatnya di negara ini atas sokongan terbaik terhadap filem arahan Jake Kasdan itu. Dwayne juga bertindak sebagai penerbit eksekutif untuk filem tersebut.

“Terima kasih Malaysia! #Jumanji menjadi filem ketiga paling laris, mungkin juga nanti boleh jadi filem yang terlaris, siapa tahu? Saya dan Malaysia sudah ‘kenal’ lama sejak zaman saya sebagai ahli gusti dahulu.

“Malah ada beberapa aksi pertarungan (perlawanan gusti) yang tidak dapat dilupakan di Kuala Lumpur, selamanya saya berterima kasih atas sokongan semua,” katanya menerusi media sosial.

Selain Malaysia, turut menerima penghargaan sama ialah Mexico, Perancis, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu.

Imej bersih

Menjadi antara pelakon yang merekodkan pendapatan paling lumayan sepanjang tahun lalu, Dwayne juga dikenali sebagai antara aktor yang mempunyai imej yang cukup bersih di Hollywood.

Jika ada di antara pelakon seangkatan yang mempunyai kehidupan peribadi yang cukup sensasi, namun pelakon sasa ini lebih senang tampil sederhana, selain cukup aktif dalam politik dan kebajikan.

Khabarnya, Dwayne dan bekas isteri turut melabur beberapa juta demi pembangunan sukan bola sepak di institusi pengajian tinggi.

Pada masa sama, rekod bersih yang bawa Dwayne berjalan seiringan dengan barisan filem lakonan yang bakal ditayangkan di pawagam. Terkini, dia bakal tampil di dalam sebuah lagi filem aksi fantasi, Rampage yang turut menampilkan Naomi Harris dan Malin Akerman.

Filem arahan Brad Peyton itu bakal ditayangkan di pawagam April depan. Dwayne nyata tidak sabar untuk melihat apakah reaksi para peminatnya untuk Rampage selepas kejayaan besar untuk filem Jumanji 2.

“Tidak sabar untuk lihat apakah maklum balas dari peminat dan pastinya, saya sudah memberikan yang terbaik untuk filem ini. Rampage merupakan antara filem yang turut melibatkan produksi saya, Seven Bucks Production,” kongsi Dwayne yang turut beraksi di dalam beberapa buah filem mega lain seperti Skyscraper.