Daniel Lee
$entry.content.caption.value

Setelah hampir dua tahun menyepikan diri daripada bidang seni suara, penyanyi Daniel Lee muncul kembali memperkenalkan album ketiganya, Sincerely Yours, Daniel.

Sesuai dengan judul albumnya, Daniel menghasilkan album yang ikhlas dari hatinya dengan memaparkan tema cinta yang mengandungi sepuluh lagu termasuk enam lagu baru dan dua lagu Inggeris klasik rakaman semula.

Bercerita mengenai perjalanan kariernya yang tenggelam timbul, penyanyi yang mencipta nama melalui program Malaysian Idol ini mengakui dirinya hampir berputus asa untuk meneruskan karier dalam bidang seni suara.

Menurutnya, perasaan selesa dan yakin mampu bertahan dalam bidang seni ini menyebabkan dirinya gagal mempertahankan populariti yang pernah dikecapi saat awal pembabitannya dalam dunia hiburan tanah air.

“Saya hampir berputus asa untuk terus bertahan dalam bidang ini sehinggakan saya fikir muzik hanya memberi tekanan kepada kehidupan saya.

“Di saat itu, saya rasa hilang tumpuan dan tidak nampak masa depan saya dalam industri ini. Saya hanya fikir ingin berhenti dalam bidang ini dan tidak mahu menyanyi lagi,” katanya semasa sidang media pelancaran album barunya di Petaling Jaya.

Bagaimanapun, selepas bertemu dengan seseorang yang dianggap sebagai mentor, Daniel bangkit dari rasa kecewa dan mulai sedar makna muzik sebenar.

“Daniel yang ada kini lebih matang dan memperlihatkan kejujuran dalam muzik yang dibawa. Saya sedar muzik perlu lahir daripada hati bukannya berdasarkan usaha keras semata-mata,” katanya yang mengakui kesilapan memilih genre muzik suatu ketika dahulu menyebabkan albumnya kurang mendapat sambutan.

Album Sincerely Yours, Daniel kali ini memperlihatkan kebolehannya dalam mencipta empat lagu.

Album pada kali ini disasarkan kepada peminatnya yang berbangsa Cina dan mereka yang menggemari lagu Bahasa Inggeris.

Daniel juga tidak melupakan peminat Melayunya dengan merancang untuk menghasilkan album sepenuhnya dalam Bahasa Melayu menjelang hujung tahun ini.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.