SETELAH empat musim bersiaran, program keagamaan yang memartabatkan status pendakwah generasi muda kini kembali bagi musim ke-5 bermula 16 Julai 2017 ini.

Da’i Pendakwah Nusantara memberi pendedahan kepada masyarakat tentang realiti sebenar yang perlu dihadapi oleh seorang Da’i dalam zaman yang penuh cabaran ini.

Program tersebut melahirkan ramai pendakwah berkaliber dalam mengukuhkan ajaran Islam sejak musim yang pertama pada 2013.

Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3, Siti Nurlisia Mohd Nadzri berkata, Da’i Pendakwah Nusantara tahun ini memperkenalkan slogan baru iaitu, 'Refleksi Diri Penggerak Dakwah'.

Slogan tersebut membawa maksud, seseorang individu yang sentiasa bermuhasabah diri, imejnya akan mencerminkan keperibadian baiknya sebagai lambang keimanan dan keindahan Agama Islam.

“Da’i Pendakwah Nusantara, program realiti keagamaan yang mempunyai pengikut tersendiri terutama golongan muda dan telah meraih 4.2 juta penonton. yang dilihat berjaya membuka mata golongan ini mendekati program Da’i.

“Harapan kami untuk musim yang terbaru ini agar program Da’i Pendakwah Nusantara terus bersinar dalam revolusi dunia dakwah serta diterima baik, sejajar  masyarakat  yang semakin minat mendalami Islam di usia muda,” ujarnya.

Dalam pada itu,12 peserta dipilih melalui sesi uji bakat yang berlangsung sepanjang Mac lalu. Kru produksi Da’i telah mengembara ke institusi pengajian tinggi di sekitar Semenanjung Malaysia dalam memenuhi misi tersebut.

Antaranya adalah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Kelantan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) Terengganu, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) Pahang, Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) Melaka dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Negeri Sembilan.

Turut terlibat ialah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Selangor, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Perak, dan Kolej Universiti Insaniah Kedah.

Kesemua peserta uji bakat diadili oleh Datuk Ustaz Kazim Elias, Ustaz Roslan Mohamed, Ustazah Asni Mansor, Ustaz Mohamad Zarifi bin Mohamad Daud, dan Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail.

Program ini akan bersiaran secara langsung setiap hari Ahad, jam 9 malam bermula 16 Julai depan dan peserta akan diberikan masa 3 hingga 5 minit untuk mempersembahkan tazkirah mereka dengan cara yang kreatif dan unik.

Juara Da’i Pendakwah Nusantara musim kelima ini akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 serta trofi Da’i Pendakwah Nusantara.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.