MENDENGARKAN suara dan lagu-lagu yang dibawakan, pasti ramai yang menyangka dia penyanyi berasal dari Indonesia, namun hakikatnya IR Radzi yang sebelum ini dikenali dengan lagu Sempurna Waktu ini adalah anak jati Kuching Sarawak.

Mengakui cukup meminati muzik dan penyanyi dari sana, Radzi bagaimanapun sentiasa tampil dengan identitinya yang tersendiri dalam setiap lagu yang dibawakan.

Selepas diterima baik menerusi beberapa single yang diperkenalkan sebelum ini, penyanyi yang sebelum ini pernah aktif dalam pengacaraan ini tampil dengan album sulungnya, Sempurna.

Album ini mengandungi lapan lagu yang terdiri daripada gabungan single terdahulu dan beberapa baru yang belum diperdengarkan sebelum ini.

“Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini sangat dekat di hati kerana setiap satunya mempunyai kisah tersendiri di mana saya percaya  ramai turut mengalami apa yang dikongsi dalam lagu-lagu ini.

“Album ini turut menggabungkan beberapa komposer popular Malaysia seperti Audi Mok, Hazami dan Bemby Noor dari Indonesia,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran album Sempurna, baru-baru ini.

Selain teruja dengan lagu-lagu terbaik yang dimuatkan dalam album ini, Radzi juga menganggap album ini terlalu istimewa buatnya kerana salah sebuah lagu yang terkandung dalam album ini, Cinta Terakhir merupakan lagu yang didedikasikan khas buatnya arwah bapa, Jamali Ellen.

“Lagu ini ini sangat istimewa kerana dicipta sepenuhnya oleh saya sebulan selepas pemergian bapa pada 2016.

“Ia mengisahkan tentang cinta seorang anak terhadap bapa yang begitu ikhlas dan tiada galang ganti dengan sesiapa pun.

“Apa yang saya sampaikan dalam lagu ini adalah untuk arwah yang banyak menyokong kerjaya seni selama ini di mana dia meminta agar saya tidak berhenti memperjuangkan bakat,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi juga turut melancarkan muzik video Cinta Terakhir yang menyaksikan penglibatan isteri dan bapa saudaranya sendiri dalam menghidupkan penceritaan.

Lagu lain yang turut dimuatkan dalam album ini ialah Kontra Analisa, Sempurna Waktu, Maafkan Aku, Bujang Duda, Berikan Masa dan Tell Me Why.

Album Sempurna kini boleh didapati di semua platform muzik seperti Spotify, Joox, Raku dan lain-lain. Ia juga boleh dibeli secara digital di iTunes.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :