CHEF terkemuka Malaysia, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali Chef Wan menyuarakan bantahan terhadap tindakan kerajaan mengarahkan semua restoran menggunakan khidmat tukang masak tempatan bermula 1 Januari tahun hadapan.

Beliau menyifatkan keputusan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran sebagai satu tindakan diskriminasi dan rasis terhadap pekerja asing yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa.

Beliau mempersoalkan kewajaran Kulasegaran dalam menghentikan kemasukan pekerja asing sebagai tukang masak di restoran tempatan memandangkan ada rakyat Malaysia yang melakukan perkara sama di rantau lain

“Makanan adalah seperti cinta yang tiada batasan. Ramai chef dari Malaysia yang bekerja di pelbagai bandar di dunia dan melakukan perkara sama. Soalan saya kepada menteri, kenapa pekerja asing di negara ini tidak boleh memasak masakan Malaysia hanya kerana mereka bukan orang tempatan?

“Kenapa kita perlu mendiskriminasikan mereka. Negara lain tidak pula layan bangsa lain seperti penduduk kelas kedua. Menteri Kewangan daripada kaum Cina, Peguam Negara tak boleh berbangsa India, pandai pula kita marah kerana mendiskriminasikan rakyat negara kita sendiri. Adakah kita boleh buat perkara ini di seluruh dunia, soalnya menerusi status di Instagram miliknya, hari ini.

Katanya, tukang masak, Peguam Negara mahupun menteri adalah suatu tugas yang dilakukan oleh manusia.

“Jika chef tidak bagus, jadi latih mereka dan majukan kemahiran mereka. Jika ada sifat kotor ajarlah mereka menguruskan semua restoran dan pastikan mereka memenuhi standard tertentu bagi kebersihan makanan serta sebagainya.

“Ini saya dengar banyak restoran yang kotor kata mereka boleh rasuah lagi bila yang datang periksa mereka jika nak kena denda. Perkara ini telah berlaku sejak sekian lama, jadi nak salahkan siapa?” soalnya lagi.

Beliau turut berkata,  pengambil pekerja tempatan tidak menjamin tahap kebersihan dan kualiti makanan yang tinggi di sesebuah restoran jika rakyat negara ini gagal melihat kelemahan sendiri.

“Kebersihan serta kualiti makanan bergantung kepada seseorang individu, tidak kisah jika asal-usul negara. Ramai tukang masak tempatan yang masak di restoran-restoran terkenal tidak mampu memberi makanan yang berkualiti dan terbaik.

“Tak payah nak salahkan pendatang asing sahaja. Kita sebagai rakyat Malaysia tidak mahu memperbaiki kelemahan sendiri,” katanya.

Kelmarin, Kulasegaran berkata semua pengusaha akan diberi masa sehingga hujung tahun ini untuk mematuhi syarat tersebut.

Menurutnya, tindakan tersebut diambil untuk mengurangkan kebergantungan restoran tempatan kepada tenaga kerja asing dan bagi memastikan kualiti makanan terjamin.