Bunk Not Death taruhan baru Bunkface
Bunkface

SESUAI seperti judulnya, kumpulan Bunkface mempertaruhkan album baru berjudul Bunk Not Dead bagi membuktikan mereka masih lagi berada dalam industri setelah dua tahun menyepi tanpa produk baru.

Bagaimanapun, album kali ini dihasilkan sebagai interpretasi ketidakpuasan hati tiga anak muda yang dianggotai Sam, Youk dan Paan ini terhadap layanan berat sebelah industri kepada band tempatan.

“Apa yang kami cuba sampaikan di dalam album ini ialah mengenai penindasan pengaruh besar dan kesannya kepada mangsa keadaan tersebut. Kami tidak mahu menuding jari, namun jika ada yang terasa, terpulanglah,” kata Sam selaku penyanyi utama Bunkface.

Katanya, penggiat muzik tempatan seolah-olah dianaktirikan dengan tidak diberi peluang sama seperti yang diberi kepada penyanyi luar.

“Tambahan lagi apabila melihat fenomena muzik K-Pop yang sekarang ini melanda negara. Lebih mengecewakan, ada pihak sanggup melabur jutaan ringgit mengundang kumpulan Korea mengadakan persembahan dan konsert di sini, sementara band tempatan hanya ditawarkan persembahan percuma,” katanya.

Menyentuh mengenai persembahan percuma, Sam mengakui masyarakat di negara ini begitu ‘berkira’ untuk mengeluarkan duit kerana sering disogokkan dengan konsert percuma daripada artis tempatan.

Melihat kepada hal itu, Sam merasakan sudah tiba masanya industri mengambil peranan dengan mendidik masyarakat untuk sanggup keluar duit bagi menyaksikan persembahan artis tempatan.

Sementara itu, tatkala bercerita mengenai album mereka, Sam mengakui konsep muzik yang dibawakan tidak banyak berbeza dengan album-album terdahulu.

Menafikan mereka sudah kekurangan idea untuk album baru, Sam sebaliknya menyatakan konsep itu masih dikekalkan berdasarkan permintaan peminat.

“Jadi, saya rasa tidak timbul istilah bosan kepada peminat yang sememangnya menunggu buah tangan terbaru daripada kami,” katanya.

Album Bunk Not Dead memuatkan 13 lagu termasuk lima lagu dalam bahasa Melayu dan lapan lagu dalam bahasa Inggeris.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.