$entry.content.caption.value
Pasti ramai masih mengingati fenomena dicetuskan telenovela dari Amerika Latin sekitar awal 2000 seperti Maria Mercedes, Rosalinda dan Yo Soy Betty La Fea.
Biarpun setiap telenovela disiarkan mencecah ratusan episod, namun barisan pelakon jelita dan kacak serta jalan ceritanya yang menarik berjaya ‘mengikat’ penonton tempatan.
Sehingga kini, walaupun demam telenovela semakin kebah, tayangannya tetap mendapat slot di stesen televisyen atas permintaan penonton.
Melihatkan drama telenovela mempunyai kelompok peminat yang tersendiri, stesen televisyen berbayar, Astro memperkenalkan sebuah saluran khusus menghimpunkan telenovela seluruh dunia iaitu Astro Bella.
Bakal bersiaran 24 jam bermula 5 Mac ini, Astro Bella (saluran 133) merupakan saluran terbaru dalam pakej Mustika menggantikan B4U.
Ketika majlis pelancarannya baru-baru ini, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, Astro Bella memberi nafas baru kepada kandungan pakej sedia ada dan menyokong dua saluran lain iaitu Warna dan Citra.
“Sebelum ini, kami telah melakukan kajian dan mendapati penonton amat meminati genre drama telenovela terutamanya dari luar negara.
“Maka, Astro Bella merupakan usaha kami bagi memastikan rancangan disediakan terus kekal memenuhi cita rasa penonton,” katanya.
Menurut Khairul, menerusi Astro Bella, penonton akan disajikan dengan telenovela terbaru termasuk Fish Port Princess (Tagalog), Rivals (Tagalog), Pobre Diabla Daniela (Latin) Emperatriz (Latin), Eternamente (Latin) dan Girlfirends (Itali).
“Kita bukan saja menghidangkan telenovela Latin, malah turut menayangkan telenovela dari negara Asia seperti Filipina dan Malaysia sendiri.
“Pemilihan telenovela dibuat dengan berhati-hati di mana kebanyakan telenovela ditayangkan adalah yang terbaru dan berjaya di negara asal.
“Sementara, untuk telenovela Melayu, ia dalam proses pembikinan dan kita masih lagi mencari drama yang sesuai untuk diketengahkan,” katanya.
Bagi mengekalkan keaslian dan keseronokan menonton telenovela, Astro mengekalkan bahasa asal dan sari kata dalam Bahasa Melayu.





