• Persembahan hambar Bowl dikritik juri namun, Bowl tetap optimis. - Foto ihsan TV3 Persembahan hambar Bowl dikritik juri namun, Bowl tetap optimis. - Foto ihsan TV3
  • Barisan peserta Kumpulan A yang bersaing, malam tadi. - Foto ihsan TV3 Barisan peserta Kumpulan A yang bersaing, malam tadi. - Foto ihsan TV3
1 /

SUDAHLAH terpaksa ditinggalkan mentornya, Afdlin Shauki selama dua minggu, kumpulan Bowl yang memulakan misi persaingan pertama malam tadi, diumumkan pula sebagai peserta paling rendah markahnya berbanding lima peserta Bintang Mencari Bintang yang lain.

Pelawak terkenal, Johan menggantikan tempat Afdlin untuk sementara bagi membimbing Bowl yang terdiri daripada Syed Ali Mubarrak (Ali) dan Muhammad Danial Lee (Danial).

Ditemui Sinar Harian Online tanpa ditemani Johan, Bowl akui persembahan mereka malam tadi hambar bukan kerana orang lain, sebaliknya meletakkan kesalahan itu pada diri sendiri.

“Persembahan hari ini agak hambar, bukan sebab orang, bukan sebab sesiapa, mungkin sebab kami sendiri," katanya.

Cepat belajar dari kesilapan, Bowl bakal menuruti nasihat para juri dan mengaplikasikan saranan mereka dalam persembahan akan datang.

“Di situ, kami dah nampak apa yang perlu dilakukan. Jadi, selepas ini jangan tinggi sangatlah. Sesuaikan dengan tahap kami. Benda ini tak jadi masalah,” katanya.

Menolak dikatakan kurang menonjol kerana ketiadaan Afdlin, Bowl memilih untuk tidak bergantung pada orang lain.

“Di sini, kami dibantu tetapi kami tidak mengharapkan orang lain. Orang lain boleh membantu dan sokong tapi yang buat, diri kita. Mungkin persembahan tadi itu (malam tadi) akan menjadi titik permulaan buat kami, untuk terus maju.

“Di dunia ini, mustahil orang terus naik ke atas, dia mesti mula dari bawah. Mungkin kami sekarang berada dalam situasi itu,” katanya tetap positif.

Bowl juga optimis serta tidak patah semangat atas kritikan yang diterima.

“Walaupun Abang Afdlin tak ada, diganti dengan Johan, konsepnya sama. Mereka hanya boleh membantu saja, bukan sebab Johan tak ajar kami ke apa.

“Mungkin kesilapan ini daripada kami yang menyebabkan persembahan kami menjadi hambar begitu. Tapi, saya tak rasa itu menjadikan kami ‘down’,” katanya.

Dalam pada itu, Danial juga mengaku banyak yang perlu diperbaikinya setelah nyanyiannya dikatakan kritikal.

“Cuma banyak lagi kena ‘polish’... bagi diri sayalah. Banyak lagi kena perbaiki,” katanya yang menerima kritikan pedas dari Ajai berhubung nyanyiannya.

Ajai berkata, “nyanyian awak kritikal, senak dan sakit.”

Dua anak muda ini digabungkan oleh Afdlin ketika sesi uji bakat, dan mula mencipta keserasian sejak seminggu lalu.

“Saya sebenarnya masuk dengan abang saya tetapi dipisahkan dan dipasangkan dengan Danial. Saya dengan abang saya dah terlalu selesa, jadi, Abang Afdlin tidak mahu keselesaan itu. Dia nak cari yang baru.

“Saya pun tak kenal Danial. Apabila diuji bakat, kami dipadankan berdua. Saya tak pandang rendah kelebihan dia, dia juga tidak pandang rendah pada kelebihan saya. Walaupun baru kenal seminggu, kami boleh juga tampil dan buat persembahan,” kata Ali.

Danial menambah, “kena cakap banyak-banyak dan berkomunikasi sesering mungkin.”

Lawak tahanan polis dan pencurian papan tanda yang diketengahkan agak menarik namun, terlalu banyak kekosongan sepanjang persembahan membuatkan Bowl menerima 36 markah sahaja.

Sementara itu, Johan berharap agar Bowl memanfaatkan ruang masa yang ada serta memperbaiki kesilapan.

“Saya sempat berkongsi dengan mereka apa yang saya ada. Saya harap mereka guna dan manfaatkan masa yang ada, walaupun saya masih baru dalam industri ini.

“Cerita ini cerita mereka. Rempahnya (idea) dah ada, saya cuma masukkan apa yang patut... perbaiki kesilapan dan terima kasih kerana berkongsi masa dengan saya,” katanya.