• Afdlin (tengah) bersama anak didiknya, Bocik. - Foto ihsan TV3 Afdlin (tengah) bersama anak didiknya, Bocik. - Foto ihsan TV3
  • Kembar Bangladesh mencuit hati penonton sejak awal persembahan lagi. - Foto ihsan TV3 Kembar Bangladesh mencuit hati penonton sejak awal persembahan lagi. - Foto ihsan TV3
1 /

SEKALI lagi sentuhan Afdlin Shauki membawa anak didiknya muncul juara bagi konsert Kumpulan B Bintang Mencari Bintang (BMB).

Bocik menerima markah penuh daripada juri awam serta pujian daripada juri profesional.

Minggu lalu, melalui konsert Kumpulan A, anak didik Afdlin, Bowl bangkit dan muncul juara dengan menewaskan juara konsert pertama, Achey.

Berdasarkan markah keseluruhan untuk kedua-dua konsert bagi kumpulan A dan B, Bocik yang dianggotai Muhamad Fadzlie dan Syed Umar Mokhtar mendahului peserta lain dengan 142.6 markah terkumpul.

Persembahan yang ada kesinambungan daripada persembahan Bowl minggu lalu nyata mampu menggeletek penonton dari awal hingga akhir persembahan.

Mengambil kisah kegagalan bomba praktikal, Afdlin dan Bocik bijak mengadun bahan cerita, dialog, pergerakan dan lirik lagu sehingga mencuit hati penonton.

Meskipun masih menggunakan perbezaan fizikal ahli Bocik sebagai bahan persembahan, namun, kali ini mereka membawakan kisah kembar siam yang diubah kepada ‘kembar bangladesh’ pula.

Mengulas mengenai persembahannya, Afdlin mengucapkan syukur atas pencapaian tersebut.

“Saya nak ucapkan terima kasih pada ALLAH Taala, sebab kami berdoa tadi supaya buat persembahan yang baik saja. Itu yang penting.

"Bagi saya, sketsa haruslah pendek, kelakar dan boleh membuatkan penonton ketawa dengan komedi yang disampaikan,” katanya.

Akui bukan mudah untuk membuat penonton ketawa, namun jika anak didiknya mengetahui kelebihan dan kekurangan, ia dilihat lebih mudah untuk menonjolkan kelebihan.

“Bukan mudah untuk membuat orang ketawa dengan sketsa kita, tetapi jika kita tahu kelebihan dan kekurangan sendiri maka lebih senang untuk kita menonjolkan kelebihan yang ada pada diri mereka," katanya.

Demi meningkatkan keyakinan diri dan semangat anak didiknya, Afdlin juga telah membawa anak didiknya merasai kehidupan gelandangan di sekitar Masjid Jamek dengan menghiburkan golongan tersebut.

Dalam pada itu, Afdlin memberitahu sering mengingatkan anak didiknya bahawa pentas BMB bukan untuk mengejar duit atau populariti.

"Sering saya ingatkan pada mereka bahawa pertandingan ini bukan untuk mengejar duit atau populariti tetapi niat kita untuk menghiburkan orang lain," kata Afdlin.

Menerima pujian daripada para juri, persembahan Bocik dilihat tiada cacat cela.

“Afdlin, kamu pintar. Kamu lihat di mana kekurangan mereka, kamu cantas dan kamu tonjolkan kekuatan mereka. Sebagai seorang mentor, kamu bijak.

“Saya tidak melihat satu cacat cela pada persembahan kamu. Tahniah,” kata juri profesional, Fauziah Ahmad Daud.

Sementara A.R Badul pula berpendapat bahawa pihak penganjur sepatutnya berbangga mempunyai peserta seperti itu.

“Tahniah Afdlin. Afdlin telah bawa dialog itu selari dengan cerita. Dia buat cerita tentang kembar, jadi, dialog dan komedi itu juga datang dari situ. Pada saya, pihak stesen TV sepatutnya berbangga dengan peserta BMB kali ini,” katanya.

Juri jemputan, Hafiz Suip memuji lirik lagu Seksis yang digubah menjadi komedi.

“Lirik itu yang membuatkan orang gelak. Saya percaya semua terhibur kerana lirik itu sudah digubah dan ia menghiburkan,” katanya yang sempat menyampaikan lagu terbarunya, Bahagiamu Deritaku pada persembahan penutup.

Markah terkumpul setakat konsert kedua ini menyaksikan Bocik mendahului dan diikuti rapat oleh Achey (140.8), Titan (128.7), Ajo (127.3), Tapaw (112.6), Tocai (104.5), Bowl (104.4), Big Too (103.3), XOXO (93.1), Gegau (85), Awok (83.4), dan Kelawak (81.4).