MEMILIH untuk beraksi dengan kanak-kanak di pentas Bintang Mencari Bintang (BMB) yang disifatkan berisiko nyata berbaloi buat anak didik Harun Salim Bachik, Achey apabila sekali lagi diumum sebagai juara bagi konsert ketiga Kumpulan A yang berlangsung, malam tadi.

Aksinya bersama pelakon kanak-kanak terkenal, Puteri Balqis berjaya merebut kembali kedudukan juara mingguan, yang 'dirampas' anak didik Afdlin Shauki, Bowl pada konsert kedua.

Aksi Achey bersama Balqis cukup menghiburkan para juri dan penonton, malah disifatkan sebagai persembahan terbaik dalam konsert kali ini.

Minggu ini, peserta berpeluang untuk beraksi dengan seorang artis jemputan pilihan masing-masing.

Hanya berbekalkan idea ringan tentang seorang abang dan adik serta menyampaikan lagu Lompat Si Katak Lompat dan Lagu, Achey menerima pujian juri profesional.

"Ini adalah persembahan terbaik pada malam ini," kata Fauziah Ahmad Daud.

A.R Badul pula mengakui berlawak bersama kanak-kanak bukan perkara mudah, namun Achey membuktikan dirinya boleh melakukannya.

"Berlawak dengan budak memang payah, tak akan dapat sebaik ini (persembahan Achey). Saya bagi awak magnet (terbaik)," katanya.

Achey turut menerima pujian daripada Harun ekoran keberaniannya mengambil risiko untuk beraksi bersama kanak-kanak.

"Saya puji Achey kerana keberanian untuk menjemput pelakon kanak-kanak. Ia bukan mudah tapi ternyata Avhey boleh buat,' katanya.

Markah Achey bagi konsert kali ini, 81.4 merupakan markah tertinggi diterimanya  berbanding dua konsert sebelumnya.

Persembahan Achey itu turut mendapat markah penuh  juri awam serta lima bintang dari penonton di rumah.