HANYA berbekalkan modal 'duit', peserta Bintang Mencari Bintang yang satu ini nyata berjaya mencuit hati para juri dan penonton sehingga meraih markah tertinggi.

Enam peserta dari kumpulan A bersaing pada malam tadi di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral.

Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah mendapat 75 markah menewaskan lima peserta lain.

Anak didik pelawak terkenal, Harun Salim Bachik ini berjaya membuat penonton ketawa dari awal hingga akhir persembahannya.

Bahkan, Achey menerima pujian daripada para juri profesional iaitu Ajai, Fauziah Ahmad Daud dan A.R Badul.

Penyanyi dan pencipta lagu, Ajai meletakkan Achey sebagai penghibur atas kebolehannya yang mampu berlawak dan bernyanyi dengan baik.

Persembahan terakhir daripada anak didik Afdlin Shauki, Bowl yang dianggotai Danial dan Ali menerima markah terendah.

Afdlin yang kini sedang menunaikan umrah terpaksa menyerahkan tugas penting mendidik Bowl kepada pelawak terkenal, Johan.

Namun, sentuhan Johan nampaknya masih belum memberi peluang kepada Bowl untuk menyerlah dalam persembahan malam tadi.

Meskipun sketsa soal siasat banduan dengan pegawai polis yang diketengahkan agak menarik, namun persembahan mereka hambar dan mereka menerima kritikan yang agak tajam daripada para juri.

Sementara itu, di sebalik lawak-lawak jenaka yang disajikan, sebahagian peserta yang bertanding malam tadi bukan saja berlawak kosong di atas pentas, malah mereka menyelitkan mesej berguna untuk penonton.

Salah satunya, anak didik Sabri Yunus, Big Too mengambil isu semasa dan persekitaran tentang aktiviti mengemis dan pentingnya tugas seorang tukang sapu sampah yang secara tak langsung membuka mata kita tentang perkara itu.

Minggu hadapan bakal menyaksikan persaingan dari kumpulan B pula yang juga terdiri daripada enam peserta.

Keputusan kumpulan A, Achey (75), Tapaw (57), Tocai dan Big Too (52), Kelawak (40) dan Bowl(36).

Format pemarkahan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus (undian SMS) dan 20 peratus dari juri awam.

Di peringkat akhir, empat peserta bakal berentap bagi merebut hadiah utama berupa wang tunai RM200,000.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MEMPERTARUHKAN idea ‘Masalah Rumah Flat’, Sumbu berjaya memikat hati juri dengan dialog yang bersahaja dan bahasa tubuh yang berkesan.
  • KETIBAAN Syawal yang mulia sangat dinanti-nantikan umat Islam. Pelbagai persiapan dilakukan untuk meraikan hari berbahagia ini, termasuklah bagi peserta program realiti Bintang Mencari Bintang (BMB) baru melabuhkan tirainya Jun lalu.
  • AKHIRNYA, Bintang Mencari Bintang (BMB) melabuhkan tirainya sejak bersiaran 3 Mac lalu dan menobatkan Achey sebagai juara sekali gus menerima hadiah utama iaitu wang tunai sebanyak RM200,000.
  • PENTAS akhir program realiti Bintang Mencari Bintang (BMB) melabuhkan tirainya semalam selepas anak didik Harun Salim Bachik, Achey dinobatkan sebagai juara.
  • JUARA Bintang Mencari Bintang (BMB) sah milik anak didik, Harun Salim Bachik, Achey.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.