LAMBAKAN pelakon baharu masa kini sedikit sebanyak memberi saingan di dalam industri.

Secara tidak langsung, ia membuatkan beberapa pelakon lain seperti timbul tenggelam di dalam industri.

Tidak menafikan dia sebahagian daripada pelakon yang sekejap popular dan sekejap tenggelam, Hisyam Hamid bagaimanapun mendedahkan ia adalah sebahagian daripada strategi untuk kekal relevan di dalam industri seni.

“Berdasarkan pemerhatian saya di dalam industri, penting untuk seseorang selebriti itu mempunyai strategi untuk kekal berada di dalam industri.

“Tidak dinafikan, bila ada drama dan menjadi pelakon utama, drama tersebut meletup tapi saya tak boleh menidakkan bahawa sesuatu fenomena itu tidak berpanjangan.

“Dan setiap bulan sahaja ada drama baharu yang disiarkan dan pasti ada sahaja muka baharu yang mewarnai kaca TV.

“Jadi penting buat saya ada strategi untuk kekal relevan. Salah satu caranya adalah dengan membiarkan diri saya tenggelam timbul,” ujarnya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada pertunjukan fesyen di bawah jenama Starvilion, di Royale Palace, baru-baru ini.

Tambah aktor berusia 33 tahun ini, dia juga menjadi lebih selektif dalam menerima tawaran agar penonton tidak mudah bosan menyaksikan lakonannya.

“Macam tahun lepas saya tolak berlakon drama dan hanya terlibat dengan projek khas; Dosa, yang juga kerjasama Malaysia - Indonesia serta berlakon filem, Pontianak.

“Tahun ini barulah saya mula terlibat dengan drama dan Insya-ALLAH, drama lakonan saya, Rahsia Hati Perempuan yang dijayakan bersama Mira Filzah, Fikry Ibrahim akan disiarkan di Astro Ria slot Megadrama bermula bulan hadapan,” jelasnya.

Dalam pada itu, ditanya tidakkah dia bimbang dengan lambakan pelakon baharu, aktor yang berasal dari Singapura ini menganggap setiap pelakon mempunyai kekuatan masing-masing.

“Saya tak bimbang atau takut kerana saya percaya setiap pelakon ada kekuatan berbeza.

“Bagi saya apa yang penting juga adalah untuk menjaga disiplin dan kualiti lakonan juga,” katanya.