Belum terlambat, masih ada rezeki Rose Aida
Rosnah Dahlan
Belum terlambat, masih ada rezeki Rose Aida
Umur tidak menghalang Rose untuk menjadi pelakon versatil.
Belum terlambat, masih ada rezeki Rose Aida
Rose bersama pelakon veteren, Aziz Satar.

Industri hiburan tidak pernah sunyi dengan kehadiran pendatang baru yang mahu mempertaruhkan bakat mereka.

Selain faktor bakat dan rupa, ramai yang memulakan karier seni mereka pada usia yang cukup muda.

Bagaimanapun, berbeza pula dengan langkah pelakon baru, Rosnah Dahlan yang memilih nama komersial Rose Aida ini. Ini kerana, dia hanya mula bergiat aktif dalam bidang lakonan sejak tahun lalu ketika usianya sudah menjangkau 41 tahun.

Mungkin bagi wanita lain seusianya, mereka lebih gemar menghabiskan masa di rumah bersama anak-anak.

Namun, sudah tersurat rezeki untuk Rose berkecimpung secara serius dalam bidang lakonan.

Mengimbau kembali pembabitannya, jelas Rose, semuanya bermula secara tidak sengaja. "Suatu hari, saya menemani anak, Aida Aqila, 17, untuk menjalani sesi uji bakat produksi Filmscape.

"Tanpa disangka, saya turut disuruh untuk membaca skrip dan boleh menghayati watak yang diberikan.

"Dari situ, saya terus ditawarkan untuk berlakon dalam drama Wasiat yang ditayangkan di Asto tidak lama dulu," katanya yang turut bergandingan dengan aktor Farid Kamil dalam drama itu.

Jika dikenang kembali, bagi Rose, agak melucukan kerana dia pernah menolak tawaran untuk berlakon ketika masih bujang dulu.

"Waktu itu, saya bergelar seorang model seangkatan dengan Erra Fazira. Malah, dia juga ada mengajak saya untuk berlakon.

"Namun, saya tidak minat dan berhenti jadi model setelah berkahwin. Tak sangka, rezeki dalam lakonan akhirnya tiba juga di usia ini," kata ibu kepada dua anak ini.

Sekadar mencuba nasib

Mengakui tidak memiliki sebarang pengalaman atau asas dalam lakonan, Rose menghadapi kesukaran pada mulanya ketika penggambaran.

Namun, kata-kata semangat yang diterima daripada pengarah Wasiat, Faisal Ishak, telah banyak membantunya.

"Saya ada memberitahu Faisal bahawa saya tidak pandai berlakon, tetapi dia tetap suruh saya mencuba. "Daripada sekadar mencuba, akhirnya saya berasa seronok dan kini menjadikan lakonan sebagai kerjaya tetap," katanya.

Sejak drama pertamanya itu, Rose mula menerima tawaran untuk membintangi pelbagai drama lain sebagai pelakon pembantu, antaranya ialah Miss Octopus, Mahabbah, Baitulrahmah, Skuad Fab dan Suri.

Malah, Rose baru saja memulakan penggambaran sebuah telemovie berjudul Terjerungkup di Muara Cintamu (RTM) yang menampilkannya sebagai pelakon utama di samping Mubarak Majid.

"Menariknya, kelainan drama ini adalah pelakonnya akan bertutur menggunakan bahasa Banjar .

"Pemilihan saya sebagai pelakon utama adalah kerana saya berketurunan Banjar dan fasih berbahasa itu," katanya.

Tidak had watak

Tidak seperti artis baru lain, perjalanan Rose mungkin boleh dikatakan agak terlewat.

Namun, Rose tidak pernah menjadikan usianya sebagai penghalang untuk mencipta nama sebagai pelakon.

"Bagi saya, tiada had umur untuk sesiapa berkecimpung dalam bidang seni kerana yang penting adalah minat.

"Selagi menerima tawaran, saya akan terus bergiat dalam dunia yang baru saya ceburi ini," katanya yang teringin berlakon di bawah arahan Along Kamaludin.

Malah, kata Rose, dia juga tidak melihat faktor usia membataskannya dengan watak-watak tertentu saja.

"Memang tidak dapat dinafikan, saya sering diberikan watak ibu dan wanita matang. "Jika diberi kesempatan, saya yakin boleh mempelbagaikan karakter dalam lakonan saya," katanya yang pernah membawa watak orang gila.

PROFIL

Nama sebenar: Rosnah Dahlan

Asal: Sabak Bernam, Selangor

Umur: 42 tahun

Anak: Aida Aqila (17 tahun), Aiman Ansari (16)

Drama: Wasiat, Miss Octopus, Mahabbah, Baitulrahmah, Suri, Terjerungkup di Muara Cinta
 

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.