BEBERAPA bulan lalu, bekas calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Kelantan, Muhammad Fauzan Abd Rashid, 18, yang berbadan sasa menjadi buah mulut ramai dan mula menjadi viral di media sosial.

Mungkin kerana usianya yang muda dan masih belajar, kebanyakan netizen memuji pengorbanan dan kecintaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mahmud Paduka Raja 1, Tanah Merah, Kelantan dalam sukan bina badan.

Fauzan atau lebih dikenali sebagai Fauzan Muscles ketika dihubungi memberitahu, pendedahan sejak kecil menarik minatnya terhadap bina badan.

“Bapa dan abang saya juga aktif ke gim untuk mendapatkan tubuh sasa. Jadi mungkin dari situlah, saya  terikut-ikut dengan hobi mereka seterusnya menjadikannya sebagai satu rutin wajib sehingga kini. Pada peringkat awal, saya tidaklah terlalu fokus.

“Namun pada usia saya 14 tahun, minat untuk memiliki tubuh badan sasa kian bercambah. Yang pastinya, saya berazam memberi inspirasi kepada anak muda menjaga penampilan dan kesihatan,” katanya yang turut menyertai beberapa pertandingan Badan Cantik sebelum ini. 

Berkongsi regimnya bagi memantapkan kecergasan, pemuda setinggi 173 sentimeter ini menambah, setiap hari, dia memperuntukkan selama tiga jam untuk workout di gim demi memastikan kondisi badannya kekal sasa.

“Dalam seminggu, lima atau enam kali saya berada di gim dan menghabiskan masa lebih tiga jam sehari. Saya mahu beri motivasi kepada anak muda di luar sana. Tiada yang mustahil untuk kita capai sekiranya ada kesungguhan dan azam yang berterusan,” kata anak ketiga dari empat beradik ini lagi.

Terkejut kisah jadi viral

Pelajar ini juga mengakui terkejut kerana dalam sekelip mata, kisahnya menjadi viral hingga memberi impak tersendiri. 

 Pengikutnya di Instagram, @fauzanmuscles turut meningkat lebih 40 ribu dalam tempoh tidak sampai sebulan.

“Rasanya tiada apa yang istimewa. Saya hanya ‘buat badan’ sekadar minat, penuhi azam dan mahu memberi motivasi. Jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk. Apa pun, terima kasih kepada yang menyokong.

“Sokongan ini sebagai suntikan semangat untuk mengikut jejak langkah atlit bina badan terkenal negara, Sazali Samad yang berjaya mengharumkan nama negara di peringkat dunia, Insya-ALLAH,” akhiri Fauzan optimis.  

Setakat ini, laman Instagram Fauzan sudah pun mencecah 59,400 pengikut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEJAK beberapa hari lalu, kecoh di Facebook mengenai video yang mendakwa sebuah pasar raya besar di sekitar Shah Alam menjual daging ayam yang tidak disembelih.
  • SHAH ALAM - Memikat pasangan diminati menggunakan ayat manis perkara biasa.
  • MUZIK K-Pop bukanlah satu perkara baharu di Malaysia, apatah lagi sejak ‘Korean/Hallyu Wave’ mula melanda negara dan ia masih menjadi kegilaan khususnya dalam kalangan remaja.
  • PERSONALITI yang mengisi segmen Viral minggu ini agak istimewa kerana gandingan di antara bapa dan anak kecil juga mampu membina reputasi yang boleh dibanggakan di media sosial, khususnya di YouTube.
  • SETIU - Arnab panggang yang menjadi viral sejak minggu lepas kini semakin mendapat permintaan tinggi sehingga ada yang sanggup datang dari jauh untuk mendapatkan makanan berkenaan.