AKTOR, Gambit Saifullah berdepan dengan cabaran yang disifatkannya sebagai pengalaman perit ketika menjalani penggambaran Pasukan Khas Laut (PASKAL).

"Pertamanya bila berlakon dalam ketenteraan ini banyak memainkan peranan fizikal dan keduanya masa penggambaran ini agak lama, tiga bulan.

"Tambah pula babak saya di tengah laut. Saya mula sedar betapa pentingnya ada pasangan dan keluarga dalam hidup.

"Sebab, saya membayangkan bagaimanakah seorang askar yang bertugas di luar? Sakit diri mungkin okay tapi ini lebih kepada batin, anda seorang diri tanpa keluarga di sisi.

"Justeru, bila lama di laut saya berasakan ia adalah cabaran yang besar. Bahkan internet pun tak ada signal," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas tentang wataknya, Gambit atau nama sebenarnya Mohd Saifullah Rosli, 33,  yang memegang watak sebagai penembak tepat, Adam @ Gagak, dia sangat berpuas hati.