AYDA Jebat bukan sahaja dikenali sebagai pelakon tetapi juga penyanyi yang berbakat besar.  Antara lagu-lagunya yang popular seperti Pinjamkan Hatiku, Bagai Pelangi, Siapa Diriku, Pencuri Hati dan Nakal Nakal Nakal.

Meneruskan bakat nyanyiannya itu, gadis genit ini bakal muncul dengan single terbaharu hasil ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong yang diberi judul Temberang.

Nur Suhada binti Jebat atau lebih mesra disapa dengan panggilan Ayda Jebat berkata,  dia sudah bersedia untuk melancarkan single terbaharunya itu.

“Insya-ALLAH selepas Hari Raya Aidilfitri nanti single Temberang ini akan dilancarkan.  Ia berentak rancak yang dirasakan sangat sesuai untuk saya.

"Kalau boleh sebenarnya saya nak lancarkan single tu sekarang supaya dapat tujukan kepada kaki temberang secepat mungkin tetapi memandangkan bulan Ramadan dan Syawal, maka kami putuskan lepas raya nanti baru single ini keluar.

"Kami beri laluan untuk perdengarkan lagu-lagu kerohanian dan mood raya terlebih dahulu," katanya jujur.

Untuk memberi perhatian penuh kepada single baharu tersebut, Ayda yang kini berusia 26 tahun membuat keputusan untuk berehat seketika daripada bidang lakonan.

"Selepas single ini dilancarkan, saya akan berehat selama tiga bulan daripada aktiviti berlakon untuk memberi fokus pada promosi Temberang.  Banyak perancangan yang telah dibuat dan insya-ALLAH doakan segalanya berjalan lancar ya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, sepanjang bulan Ramadan ini Ayda akan terlibat dengan penggambaran drama berjudul Cinta Bukan Kristal sebelum bercuti untuk menyambut hari raya.