PENYANYI dan komposer, Awi Rafael mengakui tidak mahu lagi mengungkit tentang kontroversi yang pernah menimpa tunangannya, pelakon Atikah Suhaimi sebelum ini kerana mahu melalui fasa baru kehidupannya dalam suasana yang positif.

Menurut Awi, sebagai lelaki dia sebolehnya mahu melindungi dan memberikan semangat baru agar Atikah tidak terus terbelenggu dengan kejadian lalu yang bukan berpunca daripadanya.

“Apa yang penting Awi dan mereka yang terdekat dengan dia tahu tentang kebenarannya, dan sama-sama jadikan pengajaran agar kehidupan akan datang jadi lebih baik.

“Kontroversi tetap kontroversi kerana ramai orang yang suka bercakap tentang benda yang mereka tidak tahu kebenarannya.

“Jadi Awi sentiasa menasihati dia agar menjadi seorang yang lebih positif tinggalkan benda-benda remeh yang tak mendatangkan kebaikan untuk dia,” kata Awi.

Berkongsi lebih lanjut tentang hubungan cinta mereka berdua, pelantun lagu Manusia Sempurna ini menyifatkan perkenalannya dengan Atikah sebagai sesuatu yang telah ditentukan takdir.

“Kami hanya berkawan rapat dalam tempoh enam bulan sahaja. Namun bila masing-masing ada perasaan untuk menjadikan hubungan ini lebih serius, kita terus bertunang dan insya-ALLAH kahwin pada tahun depan.

“Sebenarnya kita tak ada dating-dating sangat. Bila Awi mula rasa selesa dengan dia, Awi beritahu terus-terang dan ajak dia tunang.

“Bagi Awi, sebagai lelaki kita harus menghormati setiap wanita. Kalau betul nak serius, buat cara betul jumpa keluarga dia dan ambil dia secara sah dan bukan dengan mempermainkan perasaan dia, apatah lagi mengaibkan mereka. Itu tidak betul,” tegas Awi.

Bercerita tentang persiapan perkahwinannya, kata Awi segalanya masih dalam perancangan kerana begitu sibuk dengan program Gema Gegar Vaganza yang kini sudah memasuki minggu kelima.

Bagaimanapun, ia tidak menjadi masalah buat dirinya kerana dia dan Atikah hanya merancang untuk mengadakan majlis yang sederhana sahaja.

“Saya seorang yang simple sahaja dan menginginkan sebuah majlis yang sederhana tetapi penuh bermakna buat kami berdua. Tak mahu pening dengan benda-benda remeh yang tak sepatutnya.

“Insya-ALLAH, selain majlis di Singapura, kami juga akan mengadakan majlis resepsi di Malaysia untuk kenalan di sini termasuk pihak media.

“Lokasi di Malaysia belum ditentukan lagi, tetapi Awi sebenarnya teringin sangat nak buat majlis kami di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) kerana Awi rasa tempat itu sangat istimewa,” luahnya.