[VIDEO] TIADA angin, tiada ribut, apatah lagi desas desus percintaan, dua bintang yang berasal dari Singapura Atikah Suhaime dan penyanyi, Awi Rafael telah mengikat tali pertunangan, semalam.

Pengumuman itu dibuat sendiri oleh Atikah, 27, melalui akaun Instagramnya, beberapa jam selepas majlis itu berlangsung.

"Yes auntie, I said yes to the proposal. Officially engaged to Awi Rafael.

"Warm thank you to all who made the event smooth," tulisnya.

Manakala pihak pengurusan Awi,  (Warner Music Malaysia) dalam satu kenyataannya memaklumkan majlis pertunangan pasangan ini diadakan secara tertutup yang dihadiri oleh ahli keluarga yang rapat sahaja di Royal Palm Central, Clarke Quey Singapura.

Awi atau nama sebenarnya Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael, 32, dan Atikah akan mengikat tali pertunangan selama setahun dan majlis perkahwinan akan berlangsung sekitar bulan Mac. Manakala majlis resepsi akan berlangsung di Singapura dan Kuala Lumpur.

Kedua selebriti ini tidak pernah berkongsi apa-apa kisah percintaan mereka di media sosial.

Namun Awi ada beberapa kali memuat naik gambar bersama Atikah, namun tidak memberi bayangan apa-apa.

Atikah menerusi posting terbaru di Instagram sebentar tadi memaklumkan, dia akan terbang ke Jakarta, Indonesia, bagi berlatih bahasa Indonesia bagi filem terbarunya.

"Nanti saya akan update perkembangannya. Doakan saya, Insya Allah  tahun ini, rezeki saya akan melimpah ruah," katanya.

Sebelum ini, dalam pertemuan bersama media di sini, Atikah memaklumkan dia terpaksa pulang ke Singapura dan bekerja di sektor swasta selepas enam bulan tiada tawaran berlakon selepas dilanda kontroversi.