JARANG muncul di kaca TV atau persembahan terbuka tidak pernah membuatkan peminat lupa kepada penyanyi genit, Atilia yang cukup sinonim dengan irama jazz dan gaya tersendiri.

Jika ada yang beranggapan Atilia kini sudah memperlahankan kerjaya seninya selepas aktif menguruskan studio yoga miliknya, ternyata ia adalah sebaliknya apabila penyanyi ini tampil dengan album terbaru, Atilia No. 3.

Penghasilan album yang mengambil masa agak lama selepas album keduanya , Indah (2010) dan album debut, Sangkar (2007) menunjukkan simbolik cintanya kepada dunia nyanyian dan muzik jazz khususnya.

Meski pembikinannya mengambil masa selama tiga tahun, Atilia menganggap album yang mengandungi sembilan lagu pilihannya itu berbaloi.

“Pembikinan album ini mengambil masa agak lama sebab saya terlalu mahu menjaga kualiti dan mahu terlibat dalam proses pembikinannya dari awal sehinggalah siap," ujarnya.

Bagaimanapun, Atilia mengakui tidak mudah mengatur masa kerana ketika itu dia sibuk dengan perniagaan selain perlu memberi fokus kepada bapanya yang sakit akibat serangan jantung.

Biarpun trend semasa pasaran muzik kini lebih kepada penghasilan single, Atilia mempunyai pendiriannya tentang keperluan menghasilkan album fizikal walaupun terpaksa mengeluarkan bajet dari poket sendiri.

“Sebagai penyanyi yang sangat cintakan muzik, saya tidak percayakan single, sebaliknya lebih selesa dengan penghasilan album sebagai penanda aras dan kesinambungan kerjaya saya dalam bidang seni.

“Alhamdulillah album ini dihasilkan bersama Warner Music Malaysia, namun saya juga mengeluarkan wang sendiri untuk memenuhi beberapa bahagian mengikut cita rasa saya seperti melakukan proses mixing di salah sebuah studio terbaik di United Kingdom," katanya ketika ditemui selepas pelancaran album itu minggu lalu.

Lebih membanggakan Atilia, wang itu adalah hasil kerja kerasnya membuat persembahan dan pastinya menjadi begitu sentimental untuk diri sendiri.

“Saya kira kita semua tak kisah bekerja keras untuk sesuatu yang kita suka dan mahu biarpun perlu berkorban apatah lagi hasilnya yang memberi kita kepuasan,” akui Atilia jujur.

Berehat aktiviti Yoga

Kesibukan mempromosi album terbaru ini termasuk jelajah ke beberapa lokasi terpilih mulai 16 September hingga November depan juga membuatkan Atilia terpaksa meninggalkan seketika aktiviti Yoga yang begitu sinonim dengan dirinya.

“Insya-ALLAH jika semuanya berjalan lancar, saya akan terlibat dengan beberapa showcase jelajah di beberapa lokasi terpilih seperti di KL International Jazz Festival selain di Kuching, Kota Kinabalu, Singapura dan Jakarta,” katanya yang mula aktif dengan senaman yoga lebih empat tahun lalu.

Menyimpan hasrat untuk berduet dengan ibunya, penyanyi popular era 1970-an, Salamiah Hassan, dalam sebuah album, Atilia, berharap agar ia menjadi kenyataan.

“Pernah beberapa kali merancang, namun ada sahaja halangan termasuklah dalam album terbaru saya ini atas beberapa sebab selain belum bertemu lagu yang sesuai,” katanya yang pernah menjadi penyanyi latar ibunya menerusi lagu Kadangkala  ketika berumur 13 tahun.

Dalam pada itu, Atilia kini kembali aktif  berlakon apabila muncul dalam pementasan teater P. Ramlee The Musical dan Lat Kampung Boy The Musical.

“Tawaran membintangi drama Arluna terbitan Global Station baru-baru ini datang ketika saya ada sedikit masa sebelum sibuk dengan urusan promosi album.

“Lagi pun ketika itu sedikit sebanyak dapat bagi orang nampak kelibat saya sebelum album terbaru baru menemui mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Atilia turut berkongsi bakal bergelar penulis apabila dia tidak lama lama lagi akan bercerita mengenai penglibatannya dalam aktiviti yoga dalam sebuah buku.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • LEBIH tujuh tahun sepi tanpa sebarang album baru, kini penyanyi Atilia Haron mampu melirik senyum panjang apabila akhirnya album ketiganya, No.3 berada di pasaran sejak September lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.