• Sepuluh peserta yang bakal memulakan aksi pertama mereka di pentas Kilauan Emas. Sepuluh peserta yang bakal memulakan aksi pertama mereka di pentas Kilauan Emas.
1 /

SALURAN Astro Prima bakal menyiarkan pertandingan nyanyian realiti TV, Kilauan Emas secara langsung bagi musim ketiga ini.

Dua musim sebelum ini, program Kilauan Emas disiarkan secara rakaman.

Program enam episod itu bakal disertai 10 peserta yang dipilih dari seluruh pelusuk negara.

Menurut Pengurus Saluran Prima, Namanzee Harris, siaran secara langsung itu merupakan perubahan yang dilakukan oleh pihak Astro selepas menganjurkan. program itu selama dua musim.

"Kami bakal menyiarkan secara langsung untuk semua episod. Ini pembaharuan kami lakukan," katanya kepada sidang media memperkenalkan 10 peserta Kilauan Emas Musim Ketiga, hari ini.

Pihaknya akui berpuas hati dengan pemilihan 10 peserta tersebut.

"Kami puas hati dengan peserta-peserta yang kami dapat untuk kali ini di mana sesi uji bakat dijalankan dengan lebih ketat," katanya.

Sepuluh peserta terpilih adalah Mohd Khairuddin Ja'afar, Idris Mohd Shabidin, Silahuddin Ali, Ed Masvera Masri, Mior Yazid Ahmad, Alina Hassan, Jamaliah Saadun, Sarimah Sulaiman, Jasrina Jaafar dan Rosiah Satiman.

Masing-masing berusia antara 40 hingga 60 tahun.

Sebuah kereta Grand Livina X-Gear dan wang tunai RM 50,000 menanti juara Kilauan Emas Musim Ketiga.

Program yang mendapat tajaan Polident itu turut menawarkan Anugerah Personaliti Polident kepada finalis yang memakai gigi palsu dan pemenang bakal membawa pulang RM 10,000.

Masih mengekalkan pengacara terkenal, Raja Azura sebagai hos yang turut dibantu seorang lagi penyampai radio, Fia sebagai pengacara di belakang tabir.

Program realiti ini juga menggunakan khidmat dua nama besar dalam industri sebagai guru vokal iaitu, Sri Wirama Adnan Abu Hassan dan Siti Hajar.

Sementara, penyanyi terkenal, Ziana Zain dan pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS bakal menjadi juri tetap bagi program tersebut.

Menurut Ramli MS, peserta kali ini memiliki karakter yang berlainan.

"Astro bijak memilih. Kita ada 10 karakter yang berlainan," katanya.

Sementara Ziana Zain akui terkejut apabila melihat kehebatan setiap peserta.

"Saya terperanjat juga. Bakat mereka memang memeranjatkan sebab banyak 'colour'," katanya.

Konsert akan bersiaran setiap Rabu jam 9.30 malam bermula 24 April ini.