BIARPUN lebih menonjol sebagai penyanyi pop, Asmidar mengakui tidak pernah meninggalkan muzik irama tradisional yang dianggap sudah menjadi darah dagingnya.

“Minat terhadap muzik tradisional sebenarnya tidak pernah hilang atau terhenti. Malah saya banyak menyanyikan lagu-lagu tradisional untuk persembahan pentas, cuma orang tidak nampak sangat.

“Mana mungkin saya meninggalkan muzik tradisional kerana ia sudah menjadi darah daging saya dan akan tetap dibawa ke mana pun saya pergi,” tegasnya.

Menurut Asmidar, meskipun aktif sebagai penyanyi pop di arus muzik perdana, dia masih bergerak bersama rakan-rakannya yang mempunyai kecenderungan serupa untuk terus mempertahankan muzik tradisional.

Terbaru, Asmidar  yang pernah bergelar Juara Bintang Asli Remaja (2006) ini tampil dengan projek Keroncong Bilik Air..

“Menerusi projek ini kami akan menyanyikan lagu-lagu keroncong dengan muzik live mengikut cara sendiri, di mana diberi nafas baharu dengan bunyi yang berbeza mengikut interpretasi  kami.

“Tujuannya adalah untuk memberi idea kepada pendengar generasi baharu mendekati muzik keroncong dan mungkin juga sebagai rujukan dalam usaha  untuk membawa muzik tradisional kita ke level lain.

“Saya mempunyai kelompok kawan-kawan yang juga meminati muzik tradisional dan kami sentiasa mencari idea untuk menarik lebih ramai generasi baharu menerima muzik ini,” katanya yang kembali membuka kelas vokal.