NENEK kesayangan suami pelakon Lufya Omar, iaitu Che Muhammad Hafiz telah menghembuskan nafas pukul 10 pagi di Hospital Besar, Kelantan, Selasa lalu.

Berita duka itu dikhabarkan sendiri oleh Lufya menerusi akaun Instagramnya.

Lufya, 33, berkata, apa yang lebih memilukan anak perempuannya, Laana Haura sejak lahir lagi belum pernah dibawa berjumpa dengan nenda.

Laana kini berusia setahun sebulan.

Sementara itu, Che Muhammad Hafiz ketika dihubungi Sinar Harian berkata arwah meninggal dunia akibat menghidap penyakit kegagalan fungsi jantung (heart attack).

[ARTIKEL BERKAITAN: Lufya ajar anak bertudung]

"Arwah atau selalu kita orang panggil Chek ketika arwah masih hidup. Arwah memang nak sangat berjumpa dengan cicit pertama perempuan dia.

"Arwah ketika masih hidup selalu sebut-sebut nama Laana Haura kerana nak berjumpa sangat tetapi takde rezeki juga," katanya ketika dihubungi.

Terus ditanya adakah pasangan Lufya dan Che Hafiz sempat pulang memberikan penghormatan terakhir ini jawapnya.

"Sebenarnya kami berdua saya dan isteri baru saja pulang dari kampung untuk menziarahi nenek. Tak sangka selang beberapa hari lepas saya dapat berita yang Chek admit CCU di Hospital Besar, Kelantan akibat serangan jantung.

"Pada mulanya hafiz berniat nak balik sorang saja sebab nak cepat. Tinggal Haura and Lufya di rumah. Ketika dalam perjalanan baru dapat berita dari ibu Hafiz yang Chek sudah tiada lagi," katanya.