TIADA apa yang seronok menjadi ‘single’,”berikut kata-kata pelakon, Angelina Jolie selepas setahun perpisahannya dengan aktor, Brad Pitt lapor E News.

Berkata kepada Sunday Telegraph, dia meluahkan perasaannya mengenai status yang dipegangnya kini.

“Hidup sendiri bukanlah sesuatu yang saya minta, ia tidak bagus dan sangat sukar. Ada kala, kelihatan seperti saya OK dengan keadaan ini sedangkan sebenarnya, setiap hari saya seperti berperang untuk menghadapi hari-hari mendatang.

“Secara emosinya, setahun ini amat sukar bagi saya, ditambah dengan masalah kesihatan yang dihadapi, kini saya lebih fokus pada kesihatan diri,” katanya.

Jolie memfailkan penceraian terhadap Pitt pada September 2016 selepas 2 tahun berkahwin dan  bercinta selama 12 tahun, kedua-dua mereka kini bersetuju dengan hak penjagaan bersama enam orang anak mereka.

Sementara itu, sumber rapat pasangan tersebut memberitahu E News, bahawa pasangan tersebut tidak akan bersatu kembali.

“Mereka tidak akan bersama semula, sekarang mereka lebih fokus  untuk berbaik demi kepentingan anak-anak mereka,”kata sumber tersebut.

Sementara itu, Jolis turut menggunakan peluang hidup ‘solo’ ini untuk mencari semula dirinya sendiri, apatah lagi dengan kadar kesihatannya kini.

“Rasanya, kini saya harus mencari diri sendiri, diri lama saya. Sudah terlalu banyak perkara terjadi dalam hidup saya termasuklah isu penceraian, sakit dan juga membesarkan anak-anak.

“Sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya bangkit dan berkembang, melihat anak-anak semakin membesar, barulah saya sedar betapa selama ini saya telah menunda hidup saya sementara waktu demi mereka,” katanya lagi.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • "KAMI akan sentiasa menjadi sebuah keluarga,“ itu kata-kata aktress Angelina Jolie mengenai kisah penceraiannya dengan aktor Brad Pitt dalam temubual bersama BBC World News.
  • PELAKON dan aktivis terkenal, Angelina Jolie meluangkan sedikit masa untuk meningkatkan kesedaran ramai mengenai isu yang sangat penting di hatinya iaitu membantu para pelarian di saat prosiding penceraiannya, lapor E-News!
  • DIKHABARKAN Brad Pitt tidak senang dengan tindakan Angelina Jolie, yang menjadikan dirinya sebagai orang bersalah dalam kes penceraian mereka.
  • KHABAR angin mengenai kehadiran aktres jelita dan duta kemanusiaan, Angelina Jolie di Sarawak beredar dengan pantas di media sosial dan aplikasi komunikasi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.