AMENG atau Wan Aminuddin Wan Ismail, 49, nama yang tidak asing dalam dunia seni tanah air. Pelantun lagu Bourgenvilla ini bakal memperdengarkan alunan ayat-ayat suci al-Quran pada program World #QuranHour, Gema Wahyu dan Merdeka #QuranHour pada 31 Ogos ini.

Pada 24 Ogos lalu,  beliau berkongsi pengalaman menyentuh hati ketika jadi penghuni tirai besi sejak 12 April 2011 hingga 14 Jun 2016 untuk dijadikan pengajaran kepada orang lain, pada program Perkongsian Bersama Ameng Spring sempena Minggu Kualiti MBSA 2017. Ikuti kisahnya yang pernah dipenjarakan dan kini menjadikan al-Quran sebagai teman sejati dalam kehidupannya

BERMULA di dalam penjara, al-Quran jadi teman sejati saya. Setiap masa saya berdamping dengan al-Quran sebagai pengubat jiwa. Masa tu saya rasa tertekan kerana rindukan keluarga dan hadapi kesulitan hidup terpenjara.

Alhamdulillah dengan mendekati al-Quran, jiwa saya jadi tenang, keadaan hidup lebih baik, keluarga sempurna, kesihatan terjamin, sentiasa ada rezeki, dan orang mula menghormati saya, seperti mereka telah melupakan kisah lama saya.

Kini, saya tidak mahu mensia-siakan masa yang ada. Saya sediakan jadual khusus untuk bangun seawal jam 3 pagi. Saya mengharapkan amal ibadah yang dilakukan itu dapat menjadi bekalan akhirat.

Ameng bersama Ahmad Tarmizi sebagai penasihat program Gema Wahyu.

Apabila dekat al-Quran, semakin ramai kawan daripada pelbagai latar belakang. Jika saya berada di takuk lama dengan dadah, jahil dan tidak solat, tentu saya tidak ke mana.

Selama 43 tahun, saya hidup, tidak ada kawan bergelar ustaz. Apabila saya masuk penjara dan mula mendekati al-Quran, ramai orang termasuk ustaz menjadi kawan saya. Inilah fadilat al-Quran.

Pengalaman saya di penjara selama 8 tahun dan 10 sebatan sukar dilupakan. Teringat ketika menerima hukuman sebatan. Tanpa berpakaian, kaki dan tangan diikat, saya disebat dengan rotan sebesar kayu snuker. Sebatan pertama sudah cukup untuk membuatkan kulit punggung saya terkoyak.

Kesakitan yang amat sangat terasa seluruh badan, membuatkan saya terperanjat dan panik. Belum pun sempat merayu untuk tangguhkan sebatan kedua, sebatan kedua menyapa semula di tempat yang sama. 

Tidak terbayang ada kesakitan seperti itu di dunia. Walaupun artis, ia tidak terlepas daripada hukuman. Ada pegawai membisikkan di telinga saya untuk beristighfar, bersabar dengan ujian ALLAH SWT, dan memperbanyakkan mengucap dua kalimah syahadah.

Pada masa itu, saya rasa bagaikan mahu mati. Dalam hati saya berdoa, “Ya ALLAH, walaupun sebesar mana pun dosaku, Kau ampunkanlah. Aku tidak tertanggung rasa kesakitan ini”.

Utamakan keluarga

Sebaik sahaja saya dilepaskan daripada ikatan tali, tubuh terus rebah ke lantai yang dibasahi darah. Dengan segala kudrat yang tinggal, saya melangkah lesu ke bilik sendirian.

Saya minta dibawa ke hospital untuk dapatkan rawatan, tapi pegawai memberitahu  kecederaan dialami itu perlu sembuh dengan sendiri. Ini memberi pengajaran kepada pesalah untuk tidak mengulangi kesalahan lalu.

Sepanjang menderita kesakitan itu, saya terpaksa tidur meniarap selama dua minggu. Luka yang masih berdarah mengotori selimut. Saya rasa terharu apabila ada rakan penjara yang bukan Islam sudi membantu untuk membersihkan selimut tersebut setiap hari.

Menjelang luka semakin baik, kulit mati menjadi keras. Apabila duduk untuk membuang air, kulit yang kering itu pernah tertanggal sebesar tapak tangan. Ini menyakitkan kerana ia menjadi luka semula. 

Semasa dirotan sakit, selepas kena rotan sakit, hendak pulih pun sakit. Selepas 40 hari, barulah keadaan kecederaan di punggung kembali pulih. Namun, ia meninggalkan parut yang kekal hingga ke kubur.

Ameng bersama isteri dan anaknya.

Penjara seperti kubur. Saya dikuarantin dalam sebuah bilik gelap seperti kolong, hanya ada lubang angin dari atas. Lipas, lipan dan tikus menjadi peneman. Kemudahan disediakan hanya dua baldi yang satu daripadanya berisi air. Itulah air minum, dan itu juga untuk mencuci diri.

Apabila mendiami bilik tersebut seperti berada di dalam kubur dan ia amatlah menyedihkan. Ketika itu teringat ibu, ayah, isteri, adik-beradik dan anak. Saya menangis bila teringat isteri dan anak. Apalah yang mereka makan.

Rasa kasihan saya tertumpah kepada isteri, Sabariah Zakariah yang terpaksa berdikari untuk menyara hidup sendiri dan anak, Wan Amar Haikal. 

Dengan hati penuh kesal saya kata, “apalah yang aku buat ini? Malu, satu Malaysia dah tahu.” Buat kesalahan sendiri tapi terkesan dengan semua orang.

Sewaktu saya jadi artis popular, kawan saya satu Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat, tapi yang datang melawat saya di penjara hanyalah keluarga.

Oleh itu, bagi saya keluarga sangat penting dalam kehidupan di dunia. Ingatlah, utamakan keluarga kerana mereka boleh menolong kita di dunia dan akhirat.

Jadual khusus ibadah

Dengan al-Quran, kualiti hidup saya jauh lebih baik. Apa yang dilakukan di penjara, saya bawa keluar seperti bangun seawal jam 3 pagi. Saya bersolat tahajud, taubat, istikharah dan membaca al-Quran. Ia dijadikan jadual harian saya. Saya tidak tunggu masa yang lapang untuk berbuat amal ibadah.

Selepas 43 tahun bernafas di muka bumi ini, saya ingin memanfaatkan hidup saya. Biarlah rugi di dunia, asalkan tidak rugi di akhirat.

Hidup saya paling berkualiti adalah di penjara kerana bebas daripada perkara maksiat. Di sana, saya fokus untuk beribadah. Saya seolah-olah pilih jalan jauh untuk kembali ke pangkal jalan.

Di penjara, ada tujuh ustaz iaitu empat dari Jakim dan tiga warden. Saya tidak melepaskan peluang belajar bersungguh-sungguh. Di situ, saya belajar al-Quran dari segi tajwid, taranum dan fardu ain. Tahun kedua, saya mula menghafal ayat al-Quran sebelum dan selepas Subuh. Saya baca dalam solat untuk ingat hafalan tersebut.

Saya takut ditanya ALLAH, kenapa tak hafal al-Quran tapi hafal lagu. Dalam penghijrahan ini, saya menghasilkan lagu berunsur ketuhanan. Kini ia dijadikan album bertajuk 3 Penjuru, terbitan Orange Music Zone (M) Sdn Bhd, Jabatan Penjara Kluang, Johor dengan sokongan karyawan. Ia apa yang saya rasakan ketika di dalam penjara. 

Saya bangga dan bersyukur apabila menjadi salah seorang qari untuk World #QuranHour di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gema Wahyu di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dan Merdeka #QuranHour pada 31 Ogos ini. 

Ini memberi peluang kepada saya untuk berbakti dan berdakwah serta mendekati diri dengan ALLAH. Niat saya adalah untuk mendapat pahala. Saya berharap pengakhiran hidup yang baik, iaitu husnul khatimah. Insya-ALLAH.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.