LANTUNAN merdu suara Raqib Majid membacakan surah al-Fatihah kepada isterinya, penyanyi Tasha Manshahar sejurus mereka diijabkabulkan semalam, memukau hati ramai orang.

Ketika Raqib yang kini bergelar penyampai radio Zayan membacakan Ummul Kitab itu, Tasha dilihat sebak dan menyeka air matanya beberapa kali.

Menerusi satu entri yang dimuat naik Raqib di laman Instagramnya, dia telah lama menyimpan hasrat untuk menghadiahkan bacaan al-Fatihah itu kepada isterinya.

"Antara maharku buatmu @tashamanshahar. Sudah lama ku simpan hasrat untuk menghadiahkan bacaan surah agung ini untuk isteriku. Tetapi bacaanku tadi biasa-biasa saja, tiada yang istimewa.

"Perasaan berdebar, resah kerana bakal menggalas tanggungjawab baharu. Aku membaca tanda syukurku pada DIA yang menyatukan kita," tulisnya.

Raqib turut memberitahu, beliau dan keluarga membesar dengan kalimah tersebut dan berdoa agar mereka terus mencintai al-Quran sehingga ke syurga.

Rata-rata peminat memuji bacaan merdu Raqib dan ada juga yang menyamakan bacaannya seperti qari. Selain itu, peminat turut menyatakan betapa bertuahnya Tasha mengahwini Raqib.

Raqib atau nama sebenarnya Fahrur Raqib Abdul Majid, 28, dan Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar, 26, dinikahkan bapa Tasha Mohd Manshahar Abdul Jalil, di Masjid Jamek Kajang.