KHABAR angin yang menyatakan pelakon Ardell Aryana kini sedang berjuang melawan kanser tahap tiga masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini.

Meskipun ramai yang bercakap mengenainya, termasuk teman rapatnya di kalangan selebriti, Ardell sehingga kini tidak tampil  membuat sebarang kenyataan, malah mengambil pendekatan untuk berdiam diri.

Bagaimanapun, menerusi beberapa kemas kini laman di sosialnya semenjak sebulan lalu, Ardell memberi bayangan tentang keadaan kesihatannya yang tidak begitu baik.

Terbaharu, Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 28,  telah meluahkan perasaannya menerusi kemas kini terbaharu di laman Instagramnya.

Pelakon Surf This Love ini mengakui dia kini tidak banyak bercakap, bukan sahaja dengan orang luar tetapi juga dengan keluarganya sendiri.

"Saya tidak banyak bercakap sejak akhir-akhir ini. Saya rasa letih memaksa diri untuk bercakap, berjumpa orang dan berkomunikasi.

“Saya minta maaf jika tindakan itu menyinggung perasaan orang sekeliling yang menghantar mesej peribadi, emel dan menghubungi saya, tetapi tidak berjawab. Saya hanya manusia biasa yang perlukan masa untuk diri sendiri.

“Terlalu banyak tekanan terhadap saya sebagai manusia biasa. Buat masa sekarang saya hanya buat kerja saya dan lakukan apa yang saya mahu,” luahnya.

Tambah Ardell lagi, perkongsian yang dibuat sekadar meluahkan apa yang dirasa dan buat untuk menarik simpati ramai.

"Bukan sahaja orang luar, malah keluarga saya juga terluka dan terasa hati kerana saya tidak bercakap dengan mereka . Ya, kadang-kala saya ada mood untuk bercakap, gelak dan lain-lain tapi bukan setiap masa atau setiap hari.

"Saya kongsi apa yang saya rasa bukan untuk meraih simpati. Jauh di sudut hati, saya menghargai semua usaha, doa dan keprihatian anda semua.

“Terima kasih buat keluarga saya yang memahami. Sekali lagi, saya minta maaf,” tulisnya pada kapsyen.

Apa pun, sehingga kini pengikut dan rakan-rakan Ardell di Instagram tidak putus memberikan semangat dan kata-kata positif buat pelakon agar kembali shat seperti sedia kala.