PENYANYI, Akim Ahmad mendedahkan jiwanya terasa sunyi dan kosong selepas Allahyarham ibunya, Aminah Bahari meninggal dunia pada 5 Mei lalu.

Katanya, dia berada di dalam industri kini kerana berkat doa dan paksaan daripada arwah sebelum ini

"Saya berada dalam industri kerana berkat doa ibu dan tanpa doa dia, saya rasa tak ada upaya untuk melangkah lebih.

"Rasa sunyi dan kosong kerana apa yang lakukan kini adalah demi dia. Tak ada paksaan dari dia, tak adalah saya di sini.

"Jadi bila dia tiada, saya rasa satu perasaan yang baru dan paling sedih sebab saya tak pernah rasa sebegini," katanya ketika ditemui pada pelancaran Toyota Gazoo Racing, baru-baru ini.

Bagaimanapun ujar pemilik nama sebenar Afiq Hakim Ahmad ini, dia mengambil masa hampir 40 hari untuk bangkit dan dalam masa sama, dia juga memegang pesanan arwah ibunya untuk menjadi anak lelaki yang kuat.

"Arwah ibu ada berpesan, sebagai anak lelaki saya perlu kuat.

"Secara tidak langsung, itu yang buat saya untuk moving forward kerana tak elok juga untuk kenangkan orang yang dah tiada.

"Saya kena ingat tanggungjawab dan komitmen saya terhadap keluarga," jelasnya.

Tambah lelaki berusia 27 tahun ini, dia mendapat kekuatan dan sokongan daripada isteri, Stacy dan bapanya.

"Antara yang menyuntik semangat saya untuk bangkit adalah ayah. Kalau ikutkan, dia yang paling sedih sebab kehilangan yang besar buat seorang suami.

"Bayangkan 36 tahun mereka hidup bersama. Lebih lama dia hidup dengan isteri dari ibu sendiri.

"Jadi bagi saya, menjadi tugas saya untuk beri dia semangat dan buat ayah rasa lebih tenang.

"Alhamdulillah mujur adik tinggal bersama dengannya kini. Dapat jugalah dia bermain dengan cucu dan secara tidak langsung leka seketika tanpa mengingati arwah ibu," ujarnya.