PASUKAN Terengganu FC II (TFC II) bakal menggunakan khidmat bekas penyerang UiTM FC dalam memperkemaskan jentera serangannya bagi mengharungi saingan Liga Perdana musim depan selepas mengikat kontrak semusim dengan Akanni-Sunday di pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), hari ini.

Pengendalinya, Mustaffa Kamal Abd Wahab berkata, pemilihan penyerang kelahiran Nigeria itu dibuat berdasarkan prestasi terbaiknya ketika menyarung jersi UiTM FC yang turut bertindak selaku peledak utama buat pasukannya.

Menurutnya, kehadiran pemain berusia 33 tahun itu juga disifatkan mampu memberi kekuatan buat pasukan terutamanya dalam mengetuai barisan serangan yang bakal digandingkan dengan penyerang tempatan.

“Sebaik dia (Akkani- Sunday) menjalani latihan bersama pasukan Ahad ini, kita akan mengenal pasti beberapa penyerang tempatan dalam mencari keserasian untuk digandingkan dalam menguatkan dibahagian serangan pasukan.

“Justeru saya harap pemain-pemain dapat mengambil peluang ini untuk membuktikan kemampuan masing-masing untuk mengetuai bahagian depan pasukan nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, Mustaffa Kamal berkata, selain Akanni-Sunday, TFC II juga bakal mendapatkan khidmat seorang lagi awang import di bahagian pertahanan sekaligus mampu mengimbangi kekuatan pasukan yang rata-rata dibarisi ramai pemain muda.

“Sebelum ini kita sudah membuat rundingan dengan salah seorang pemain import yang pernah beraksi dalam saingan Liga Perdana, namun gagal mencapai sebarang keputusan.

“Bagaimanapun kita telah mengenal pasti seorang lagi benteng pertahanan dari Haiti bagi mengisi slot dua awang import yang diperlukan TFC II dan kini sedang menunggu keputusan sama ada menerima tawaran yang dibuat atau sebaliknya dalam masa terdekat,” katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TIGA tonggak utama pasukan berstatus kelab T-Team bakal memperkuatkan skuad Terengganu FC I (TFC I) selepas menerima tawaran pasukan utama dari Terengganu itu bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
  • KEGAGALAN barisan hadapan terutama penyerang utama Terengganu FC II (TFCII), Patrick Dos Santos memberikan sumbangan yang diharapkan sememangnya mengundang resah pengendali pasukan, Rahmad Darmawan.