DI sebalik kontroversi 'permata palsu' yang diterima menerusi program Gegar Vaganza musim keempat, penyanyi Aishah mendedahkan dua syarikat korporat tampil menawarkan hadiah gantian kepadanya.

Menurut Aishah, sebuah syarikat produk kecantikan ingin menghadiahkan seutas gelang emas manakala ada pihak turut menawarkan mata wang crypto sebanyak 10 Dinar Dirham Koin (DDK) bersamaan RM8,500.

Penyanyi lagu Janji Manismu itu meluahkan rasa terharu dan terima kasih atas kesudiaan dua pihak berkenaan yang ingin memberi hadiah kepadanya namun dia mengambil keputusan menolak tawaran itu.

"Alhamdulillah ada yang prihatin pada kes I (saya), terharu sangat di atas tawaran untuk menghadiahkan (saya), DDK tetapi (saya)  terpaksa menolak tawaran tersebut. Jutaan terima kasih sekali lagi di atas keperihatinan anda," katanya menerusi status Instagram miliknya pada Jumaat.

Minggu lalu, Aishah membuat pendedahan dia masih belum menerima hadiah sebidang tanah lot banglo selepas hampir setahun menjadi juara GV4.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tapi tanahnya tak ada, tanahnya mana?: Aishah]

Malah penyanyi itu turut mendakwa, barang kemas hadiah daripada usahawan Datuk Seri Vida yang bernilai RM80,000 juga didapati palsu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Salah ke saya bersuara?: Aishah]

Dalam pada itu, menerusi posting berbeza, Aishah berkata, perjuangannya dalam membela haknya melebihi angka wang ringgit atau nilai sesuatu barangan.

Kata Aishah, apa dilakukan bukan semata-mata untuk kepentingan diri sebaliknya membela teman-teman artis lain agar tidak diperlekehkan seperti mana terjadi kepadanya.

Beliau juga melahirkan rasa terharu di atas kepekaan pihak terbabit, tetapi katanya, perjuangannya adalah melebihi angka wang ringgit atau barangan bernilai.

Malah, katanya perjuangan itu bukan sahaja untuk dirinya  tetapi untuk teman-teman artis yang lain semoga tidak diperlekehkan dengan janji-janji pihak tertentu.

"Biarlah selepas ini kalau ada sebarang pampasan ia ditentukan oleh undang-undang sebagai pengajaran," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Isu hadiah DSV: Aishah bakal guna khidmat peguam]

[ARTIKEL BERKAITAN:Aishah mahu Datuk Seri Vida mohon maaf]

Aishah menambah, apa dilakukan atas dasar prinsip dan kerana itu juga dia menolak semua tawaran diberikan kepadanya.

"Apa-apa pun terima kasih untuk tawaran diberikan, sebagai seorang wanita tentu sahaja hati melonjak bila dapat tawaran begitu.

"Tapi demi prinsip I (saya) terpaksa tolak tawaran ini. Biarlah malam ini I (saya) mimpi saja memakai gelang emas itu dan tersenyum," katanya lagi.