NAMA Aida Aris tidak pernah lekang di bibir penggiat seni tanah air mahupun peminat drama-drama dan filem tempatan.

Sedar tak sedar sudah hampir 20 tahun Aida menjadi penyeri dalam industri hiburan tempatan.

Lupakan segala kontroversi yang pernah menghambat pelakon jelita ini, bakat besarnya sentiasa menjadi keutamaan hingga wajahnya sentiasa menghiasi drama-drama tempatan.

Lakonannya memikat hati serta mampu memberikan emosi membuatkan ramai peminatnya ternanti-nanti kelibatnya muncul di kaca televisyen.

‘Orang lama’ ini masih diberi kepercayaan untuk memegang watak utama dalam kebanyakan drama lakonannya.

Ditanya mengenai perkembangan terkininya, pelakon yang berusia 40-an itu bakal menghasilkan sebuah telemovie bagi stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Syarikat produksi saya, Cintakasih Productions akan menerbitkan telemovie Ttatea Bulan di bawah arahan Zamri Zakaria.

“Telemovie ini berkisar mengenai kehidupan seharian gelandangan dengan lokasi penggambarannya dilakukan di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Teraju utama telemovie tersebut adalah dirinya sendiri sambil dibantu Nabila Huda, Syazwan Zulkifly serta beberapa pelakon yang lain.

Selain Ttatea Bulan, produksinya telah menghasilkan dua buah telefilem iaitu Kau Tetap Mei Hua dan Psiko Pat yang bakal bersiaran pada tahun ini.

“Untuk tahun ini, saya sudah rancang untuk terbitkan dua cerita lagi, cuma bila tu tak dapat saya pastikan lagi,” jelas pelakon filem Suratan Kasih itu.

Terus aktif

Pelakon yang nama sebenarnya Siti Rohaida Mat Aris menjelaskan, dia masih mempunyai kudrat yang kuat untuk berlakon dalam mana-mana naskhah yang mengambil masa tempoh yang lama.

Perkara ini dibuktikan apabila dia mampu bertahan untuk berlakon dalam 100 episod drama bersiri, Lara Aishah.

“Tempoh penggambaran Lara Aishah memang berbulan-bulan dan sangat lama. Tetapi Alhamdulillah, saya mampu bertahan untuk menghabiskan semua babak yang melibatkan saya.

“Memang menjadi lumrah sebagai pelakon untuk berada di dalam set untuk tempoh yang lama. Itu adalah cabaran yang perlu ditempuhi apabila berada dalam arena ini,” katanya.

Tambahnya, individu bergelar pelakon memang susah untuk bercuti kerana komitmen kerja yang agak banyak serta lama dan banyak pengorbanan perlu dibuat untuk menjadi anak seni.

Selorohnya, kebiasaannya anak seni hanya bercuti pada hari Aidilfitri serta Aidiladha sahaja yang menjadi hari perayaan bagi umat Islam.

“Kalau raya pun kerja, menangislah keluarga di kampung tu,” katanya sambil ketawa.