HATI mana dapat menahan sayu setiap kali menatap wajah anak yang terlalu istimewa di hatinya.

Ahli kumpulan Chapters, Wan kini berdepan masalah apabila anak bongsunya, merayu untuk memohon bantuan dana sebanyak RM50,000 untuk menampung kos rawatan anaknya, Muhammad Haziq Daniel, 5, yang mengalami kerosakan pada jantung.

Wan atau nama sebenarnya, Ridzwan Abdul Rahman, 51, berkata, perkara itu diketahui hanya selepas anaknya berusia dua bulan.

“Pada mulanya, doktor kesan ada lubang kecil di jantung anak saya lebih kurang dua milimeter. Selepas pelbagai pemeriksaan dibuat ke atas Daniel, akhirnya doktor sahkan bukan sahaja berlubang, malah injap jantung sebelah kiri Daniel juga rosak.

“Sejak itu, pelbagai usaha kami ikhtiarkan untuk menyelamatkan nyawanya. Pergerakan Daniel juga terbatas,” katanya kepada Sinar Online.

Katanya, Daniel tidak boleh terlalu aktif atau penat dan jika itu berlaku, dikhuatiri anaknya tidak mampu menanggung kesakitan.

“Dulu, masa umur dua, tiga tahun, memang dia sangat aktif. Berlari ke sana sini, main macam budak-budak lain.

“Sekarang ni pun sama, cuma dia macam faham sikit kalau main, tak boleh nak lari-lari. Kena selalu rehat,” ujarnya.

Ayah kepada tiga anak ini juga mengakui, pendapatan sedia ada tidak mampu menampung kos rawatan untuk Daniel.

“Kerjaya saya sebagai penyanyi bukanlah mewah sangat. Sekarang ni pun saya dan kawan-kawan menyanyi busking di restoran-restoran untuk mencari dana tambahan.

“Bukan tak nak kerja selain muzik, cuma Daniel perlukan perhatian dan rawatan susulan juga kerap dilakukan. Saya perlu sentiasa bersama isteri untuk menguruskan Daniel,” ceritanya.

Wan juga memberitahu, isterinya tidak lagi bekerja sejak Danial berusia dua bulan.

“Daniel perlukan penjagaan rapi. Dia anak istimewa, terlalu istimewa buat kami. ALLAH SWT berikan Daniel pada kami ketika kami sudah berusia begini. ALLAH SWT uji kami dengan semua ini, kami berdua redha dan menerimanya.

Selama empat tahun, Wan membawa Daniel untuk pemeriksaan kesihatan di Hospital Serdang dan terkini, anaknya itu perlu dibawa ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi rawatan dan pembedahan.

“Apabila perlu ke IJN, saya kena sediakan sekurang-kurangnya RM600 untuk bayaran imbasan jantung dan lain-lain rawatan.

“Kalau dah selalu, saya memang tak mampu. Buat masa ini, kos ubat untuk Daniel RM180 untuk tempoh dua bulan,” jelasnya.

Bagi Wan, apa yang lebih penting untuknya mencari dana untuk menampung kos rawatan susulan selepas pembedahan.

“Sekarang ni, hospital dah maklumkan pada saya mengenai kos pembedahan dan sebagainya. Saya bersyukur kerana Lembaga Zakat akan memberi sumbangan selain dapat bantuan subsidi kerajaan untuk kos pembedahan.

“Cuma, saya kena usahakan untuk kos rawatan susulan yang diberitahu jumlahnya juga tinggi. Saya merayu agar dapat membantu menyalurkan bantuan untuk menyelamatkan anak kecil saya.

“Sebagai bapa, sudah pasti, saya nak tengok dia membesar dan hidup normal seperti orang lain,” katanya.

Kepada yang ingin membantu, bolehlah menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Ridzwan Abd Rahman: 7010629080 atau hubunginya di talian 017-3703462.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.