• Afiq Afiq
  • Eina Eina
1 /

"SEORANG ibu yang baik, dia tidak akan memalukan anaknya sedemikian rupa. Saya yang dihalau dari rumah dan sekarang saya pula yang dituduh menjadi anak derhaka?" begitulah luahan kesal pelakon yang sedang meningkat naik, Afiq Muiz mengenai dakwaan ibunya yang mengatakan dia sudah membuang keluarga dan menjadi anak derhaka.

Menjelaskan situasi sebenar, Afiq berkata, dia dan ibunya, Hasliza Mohd, 48, yang dipanggil Umi sememangnya sudah lama berkelahi kerana beberapa perkara terutamanya berkaitan wang.

Katanya, perkelahian baru-baru ini menyebabkan ibunya telah menghalau dia dari rumah dan kini dia pula yang dipersalahkan.

"Bukan saya tak cari Umi atau Umi tak cari saya. Tetapi tiada jalan pendamaian, bila jumpa kami akan bertekak.

"Cuma apa yang saya kesalkan, kalau Umi benar-benar sayangkan saya, dia tidak akan sewenang-wenangnya membuka pekung di dada dan membiarkan semua orang tahu mengenainya," ujarnya dalam nada kesal kepada Zass.

Di tebak mengenai nama kekasihnya, Eina Azman yang turut dikaitkan dalam pertelingkahan ini, Afiq berkata, dia dan Eina tidak pernah bercinta dan Eina tidak pernah mengikis duitnya.

"Saya bukan lelaki bodoh yang hanya akan turut pada permintaan seorang perempuan. Lagipun Eina ada keluarga, ada kerjaya, buat apa pula dia mahu mengikis duit saya.

"Namun saya akui kami berkawan rapat dan saya kerap bercerita masalah kepadanya. Tetapi kami tidak bercinta! Tak adil untuk Eina turut terseret dalam hal ini," katanya.

Afiq berkata, dia masih belum berkesempatan bertemu ibunya kerana kekangan masa, apatah lagi sedang sibuk menjalani sesi penggambaran buat masa ini.

Eina berang

Sementara itu, Eina yang dihubungi Zass melahirkan rasa simpati kepada Afiq dan mengakui agak berang dengan tindakan ibu Afiq yang turut melibatkannya dalam masalah keluarga mereka.

Ujar Eina, dia agak terkejut apabila ibu Afiq menuduhnya sebagai punca Afiq berubah.

"Sejak awal tahun lalu, ibu Afiq ada menghubungi Eina dan marah-marah serta mengeluarkan kata-kata kesat.

"Tapi Eina sabarkan saja, tapi dia pula kata Eina menghantar mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan dan kasar bahasanya.

"Walaupun dia tidak sebut nama Eina secara langsung, tapi siapa lagi artis wanita yang rapat dengan Afiq sekarang. Eina bukan syok sendiri, sebaliknya media sendiri yang mencari Eina. Jadi secara tak langsung memang Einalah artis wanita itu," katanya.

Eina berkata, dia bukanlah perempuan materialistik untuk mengikis duit Afiq, apatah lagi Afiq bukanlah anak orang kaya yang mempunyai harta melimpah ruah.

"Eina bukan nak menghina, tetapi itu hakikat dan Afiq sendiri yang berkata begitu," katanya.

Menurut Eina, dia kasihan melihat Afiq datang ke rumahnya kelmarin dan menangis kerana kesal dengan tindakan ibunya sendiri.

Katanya, dia juga hairan adakah ibu Afiq cemburu melihat Afiq rapat dengannya sehingga sanggup berfikir dia akan mengikis duit Afiq.

"Afiq pernah berkata, ibunya seolah-olah menyayangi duit dari dirinya sendiri. Apatah lagi, setiap kali pulang ke rumah, ibu Afiq akan bertanya soal duit terlebih dahulu.

"Malah mereka sering bertekak kerana duit. Contohnya, mengenai soal duit RM30,000 yang dibangkitkan ibu Afiq, mana dia tahu mengenai duit itu sedangkan Afiq sudah lama tidak balik ke rumah? "Afiq tidak habiskan duit itu sekali gus, sebaliknya dia membeli perabot untuk keselesaannya di rumah baru dan dia sama sekali tidak menghabiskan duit itu untuk Eina," jelasnya.

Bakal ambil tindakan

Eina berkata, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut terhadap ibu Afiq kerana memburukkan namanya seperti ini.

Ujarnya, dia memberi tempoh seminggu kepada ibu Afiq untuk membuat permohonan maaf.

"Eina juga mencabar ibu Afiq membuat laporan mengenai SMS ugutan yang diterima jika benar ia daripada Eina.

"Ini bukan kali pertama dia memburukkan Eina. Sebelum ini, dia mendakwa Eina dan Afiq bersekedudukan dan Eina juga dikatakan 'guna-guna' Afiq sehingga dia jatuh sakit.

"Malah dia juga ada memburuk-burukkan kami di laman Twitter miliknya dan Eina sehingga kini masih tertanya-tanya kenapa dia tidak puas hati dengan Eina, sedangkan kami tidak pernah berjumpa," katanya.