DEMI mengelakkan isu yang tidak diingini berlaku dikemudian hari, pelawak Achey dan isterinya, Nor Hasanah Yahaya sepakat untuk menjadikan anak angkat mereka sebagai mahram.

Kata Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 32, isterinya sedang dalam proses menjadi ibu susuan.

“Alhamdulillah selepas mendapat pandangan daripada keluarga dan ahli agama kami sepakat untuk jadikan dia anak susuan agar tak timbul soal mahram apabila dia dewasa kelak.

“Sekarang masih dalam proses dan Alhamdulillah ALLAH pun permudahkan proses itu untuk isteri saya,” ujar Achey kepada mStar Online.

Achey dan isteri, Nor Hasanah Yahaya mengambil Nur Tiara sebagai anak angkat pada 6 Ramadan lalu.

Nur Tiara Zinnirah Nasir yang kini sudah berusia dua bulan dilahirkan pada 15 Mei lalu pada pukul 8.05 malam di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Jelas Achey lagi, Nur Tiara juga sudah sah menjadi anak angkat mereka dari segi undang-undang selepas membuat pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM).

Sementara itu ujar isteri Achey, meski sebelum ini tidak pernah bergelar sebagai ibu bapa namun kehadiran Tiara banyak memberikan pengalaman baharu.