SHAH ALAM - Pelakon Abby Abadi yang menyertai Pas sebagai ahli seumur hidup baru-baru ini berkata, dia menerima penamatan kontraknya sebagai Duta Tudung dengan terbuka.

"Tentang kontrak Duta tudung tu, takpe sahabat-sahabat ku, rezeki di mana-mana. Saya terima itu memang bukan rezeki saya. Insya-ALLAH, ada je rezeki lain nanti," kata beliau menerusi mesej Twitternya hari ini.

Cerita Abby hilang kontrak sebagai Duta Tudung muncul semalam.

Beberapa pengikut akaun Twitternya juga melahirkan sokongan kepada selebriti itu.

Pemegang akaun bernama Yusry berkata: "Teruskan Abby. Jika anda berminat, saya boleh menawarkan kontral 'Muslimah Wedding Dress Photo Shooting' untuk butik saya. Akan menyokong anda."

Seorang lagi yang menggunakan akaun Nadieya Zuber pula berkata, "kena kuat kaka. Rezeki ada di mana-mana. Insya-ALLAH... kemungkinan rakan-rakan artis kanak tidak setuju dengan tindakan kakak. Tetapi kami sentiasa sokong anda."

Pada 20 Julai lalu, Sinar Harian Online melaporkan bahawa selepas hampir beberapa bulan berada di pentas ceramah Pas, Abby akhirnya secara rasmi menyertai parti itu sebagai ahli seumur hidup.

Abby menyerahkan borang keahlian kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik  Mat disusuli dengan pemakaian selendang hijau oleh Exco Kerajaan Negeri, Wan Ubaidah Omar.

Abby yang terkenal dengan gelaran Inspektor Haliza berkata, tindakan beliau menangguhkan penyertaan dalam Pas sebelum ini kerana mahu memahami mendalam perjuangan parti itu dan akhirnya mendapat petunjuk daripada ALLAH.

Katanya, kesungguhan beliau mendekati Pas adalah kerana mendapati parti itu ikhlas memperjuangkan Islam berdasarkan al-Quran.

“Saya mendapat hidayah ini selepas mengerjakan umrah, tidak ada  siapa yang paksa, malah apa yang saya sampaikan  (dalam ceramah) adalah lahir dari kesedaran dan pemahaman saya sendiri,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :