$entry.content.caption.value
Tanggal 22 Februari, genaplah 20 tahun pemergian seniman terkenal, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad menemui Penciptanya. Masa berlalu, kedudukan Sudirman sebagai penghibur terbaik yang begitu dekat dengan jiwa peminatnya masih tiada ganti.
Biarpun generasi baru tidak berkesempatan melihat sendiri kehebatan Sudirman di pentas, penganjuran pelbagai persembahan bagi mengenang jasa penyanyi lagu Balik Kampung dan Merisik Khabar itu sedikit sebanyak mengubat kerinduan.
Meneruskan usaha memberi penghormatan kepada Sudirman, Orkestra RTM (ORTM) menampilkan konsert Sudirman...Abadi di Hati pada 24 Februari ini di Auditorium Perdana, Angkasapuri, jam 9 malam.
Menurut Penerbit Perkhidmatan Muzik RTM, Ali Shuib, penganjuran konsert kali ini agak berbeza dengan siri konsert pertama pada 2007 di Stadium Melawati.
“Sebagai kelainan, konsert ini bakal menampilkan konsep persembahan secara kronologi.
“Setiap persembahan akan disusun berdasarkan album pernah dihasilkan dan menjulang nama Sudirman sepanjang kerjaya seninya iaitu Teriting Doa (1997), Aku Penghiburmu (1978), Perasaan (1979) sehinggalah album terakhir,” katanya pada sidang media konsert Sudirman...Abadi di Hati.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik RTM, Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus, Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail, dan penerbit, Ain Sabrina Onn.
Kekalkan melodi asal
Bagi menghormati karya dendangan Sudirman, Ali berkata, melodi asal setiap lagu yang dipilih tidak akan diubah.
“ORTM hanya akan membuat gubahan bersesuaian dengan gaya penyanyi yang membawakan lagu itu agar tidak sama dengan cara nyanyian Sudirman, tetapi melodinya tetap sama.
“Mengenai pemilihan lagu, kita akan tonjolkan lebih banyak lagu popular Sudirman yang jarang diputarkan sebagai variasi,” katanya.
Konsert yang dijadikan acara wajib setiap lima tahun itu dikendalikan dua pengacara dan pelawak terkenal, Didie Alias dan Saiful Apek.
Sementara, barisan artis yang terlibat termasuk Adibah Noor, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Alyah, Bob, Shila Amzah, Tomok, Black, Aril dan Rey Bintang RM. Ali berkata, konsert itu bukan mengenang Sudirman semata-mata, malah turut menghargai insan di sebalik kejayaannya,” katanya.





