SEBANYAK 149 lagu gubahan dan nyanyian seniman agung  Allahyarham Tan Sri P. Ramlee merupakan antara 255 butiran warisan yang diisytihar sebagai Warisan Kebangsaan 2018.

Antara lagu malar segar tersenarai ialah Bunyi Gitar, Maafkan Kami, Anakku Sazali, Tunggu Sekejap dan Getaran Jiwa.

Pengumuman itu dibuat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia  Datuk Mohammadin Ketapi pada Majlis Pengisytiharan Warisan Kebangsaan 2018  di sini hari ini.

"Pada petang ini saya mengisytiharkan sejumlah butiran warisan sebagai Warisan Kebangsaan dan apa yang istimewa ialah hasil karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee turut tersenarai sebagai Warisan Kebangsaan khususnya lagu-lagu ciptaan beliau," katanya pada majlis itu.

Butiran lain yang diisytiharkan kali ini adalah 24 tapak warisan, 225 objek warisan serta enam tokoh orang hidup.

Beliau berkata kepentingan untuk mewartakan warisan ini akan memberi impak positif melangkaui pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat.

"Ia turut menjana ekonomi kepada negara melalui produk pelancongan warisan," katanya. - Bernama