FILEM Munafik 2 terus melakar sejarah apabila menjadi filem tempatan dan Melayu pertama yang berjaya meraih kutipan RM30 juta hanya dalam masa 10 hari tayangan.

Ternyata filem berunsur seram dan Islamik terbitan Skop Productions dan arahan Syamsul Yusof ini menjadi pilihan no. 1 penonton semenjak mula ditayangkan pada 30 Ogos lalu.

Syamsul menerusi laman Instagramnya berkongsi berita gembira ini dan mengharapakan Munfik terus melakar kejayaan.

Malah pengarah muda ini juga turut meluahkan rasa syukurnya, selain ucapan terima kasih buat peminat filem Melayu yang terus memberikan sokongan kepada filem ini.

“Munafik 2 breaks all record as fastest Malay film to hit 30 million in just 10 days.

“Mencecah kutipan RM 30 juta hanya dalam 10 hari tayangan. Suatu fenomena luar biasa sinema Malaysia.

“Alhamdulillah dan terima kasih. Majulah industri filem Malaysia. Saksikan filem Munafik 2 - Fisabilillah dipawagam sekarang,” tulis Syamsul sebagai kapsyen.

Selain Syamsul sebagai teraju utama, Munafik 2 turut dibintangi barisan pelakon yang terdiri daripada Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Mawi, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali dan Fauzi Nawawi.