PINDAH milik hartanah, dilihat sebagai perkara yang agak rumit kerana perlu berdepan dengan pelbagai syarat dan prosedur. Disebabkan itu, lebih ramai yang memilih untuk menyerahkannya kepada peguam.

Namun anda sebenarnya boleh melakukannya sendiri; pindah milik hartanah kepada waris (seperti isteri, suami, anak dan ibu bapa) tanpa perlu menggunakan khidmat peguam.

Ikuti perkongsian teknik dan panduan tersebut oleh Pengasas Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkukhairi Abd Sukor.

Apakah kelebihannya jika menguruskan sendiri pindah milik hartanah kepada waris?

Dengan melakukan sendiri urusan pindah milik hartanah, ia dapat mempercepatkan urusan dan dapat menjimatkan kos. Ini kerana anda tidak perlu berurusan dengan peguam. Bukan itu sahaja anda juga boleh secara terus berurusan dengan pihak-pihak yang terbabit seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pejabat Tanah. Ini dapat menjadikan urusan tersebut boleh diselesaikan dengan segera.

Apakah syarat-syarat  yang perlu dipatuhi?

Pertama perlu pastikan nama Pemberi Pindah Milik (PPM) adalah tuan punya berdaftar hartanah tersebut. Sekiranya dalam geran masih lagi nama orang lain dan bukannya nama PPM maka khidmat nasihat peguam adalah diperlukan. Pastikan juga hartanah tersebut hendaklah bebas daripada sebarang halangan. Misalnya hartanah tersebut tidak digadaikan kepada mana-mana bank atau bebas daripada mana-mana pihak.

Selain itu, urusan pindah milik tersebut tidak melibatkan transaksi jual beli di antara PPM dan Penerima Pindah Milik (PNPM). Jika ia melibatkan urusan jual beli di antara kedua-dua belah pihak tersebut, satu perjanjian jual beli perlulah disediakan dan ditandatangani oleh mereka terlebih dahulu. Dan sudah semestinya, adalah digalakkan perjanjian jual beli itu disediakan oleh peguam.

Balasan pindah milik hartanah adalah atas dasar 'balasan kasih sayang' semata-mata dan tidak melibatkan balasan wang ringgit atau tanpa melibatkan sebarang terma yang bersangkutan dengan jual beli.

Apakah langkah-langkah  yang perlu diambil?

Pertama, dapatkan kebenaran pindah milik daripada pihak berkuasa negeri. Kemudian, setelah kebenaran pindah milik diperoleh, sila beli Borang Pindah milik (Borang 14A) daripada pejabat tanah dan sila isi segala maklumat yang dikehendaki di dalam borang pindah milik tersebut. Tandatangan borang pindah milik di hadapan peguam atau Penolong Pegawai Daerah. Seterusnya hantar Permohonan Adjudikasi (Permohonan Nilaian Duti Setem) di LHDN dan boleh dilakukan sama ada secara manual atau secara atas talian (online). Kemudian, Notis nilaian duti setem pindah milik akan diterima dan perlu membayar duti setem pindah milik itu dalam masa 30 hari.

Setelah itu, uruskan pendaftaran pindah milik di pejabat tanah. Sediakan dokumen diperlukan, dan akhir sekali setelah permohonan pindah milik didaftarkan oleh pejabat tanah, pejabat tanah akan keluarkan geran asal yang baharu yang telah dipindah milik kepada nama waris. Maka selepas dapat geran asal yang baru, selesailah sudah proses pindah milik hartanah kepada waris anda.

Dokumen yang perlu disediakan?

Di antara dokumen-dokumen yang diperlukan untuk masuk permohonan pendaftaran pindah milik adalah seperti salinan kad pengenalan pemberi pindah milik dan penerima pindah milik berserta salinan surat beranak/ sijil nikah (jika berkenaan), borang pindah milik yang telah di mati setem (di adjudikasi), geran hartanah yang asal, resit asal bayaran cukai tanah dan cukai pintu tahun terkini (jika rumah/ kedai), sijil bayaran duti setem pindah milik, notis taksiran duti setem pindah milik, salinan asal surat kebenaran pindah milik dan cukai pemprosesan yang berbeza mengikut negeri masing-masing.

Dari segi kos, adakah  lebih menjimatkan?

Ya, ia dapat dijimatkan daripada membayar kos yuran guaman. Yuran guaman ini bergantung kepada nilai sesuatu hartanah tersebut. Jadi jumlah sebenar bergantung kepada nilai sesuatu hartanah tersebut.

Apakah nasihat tuan  kepada orang ramai?

Nasihat saya, mereka mestilah seorang yang mempunyai banyak masa lapang. Ini kerana untuk menguruskan sendiri urusan pindah milik tersebut perlu menghabiskan masa untuk berurusan dengan pihak-pihak berkenaan. Jika mereka seorang yang sibuk, sudah pasti urusan pindah milik tersebut akan tergendala. Mereka juga perlu ada sedikit ilmu dan pengalaman dalam urusan pendaftaran pindah milik. Rajin-rajinlah bertanya dengan mereka yang berpengalaman dalam urusan tersebut.

Selain itu, mereka perlu sabar. Ini kerana urusan pindah milik ini bakal melibatkan prosedur tertentu yang perlu diikuti. Maka sekiranya mereka rasa tidak mampu memenuhi ketiga-tiga perkara di atas, langkah yang terbaik adalah melantik peguam hartanah untuk melakukan urusan pindah milik hartanah tersebut.